Letrik, air dan jalanraya luar bandar diberi perhatian

0
92
Ewon (tengah) bersama Dumi dan Bolkiah bergambar bersama penduduk kampung.

PITAS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mengadakan perbincangan bersama KPLB Persekutuan untuk mengetahui status sebenar beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah termasuk Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dirancang kerajaan terdahulu.

Menterinya Ewon Benedick berkata, ini penting bagi memastikan program pembangunan luar bandar termasuk kemudahan asas seperti Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JALB) dan BELB benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar di negeri ini.

“Melalui perbincangan saya dengan Rina Harun (Menteri KPLB Persekutuan) semasa kunjungan baru-baru ini, kita bersetuju perlu ada perkongsian maklumat, persefahaman dan kerjasama erat antara kedua-dua kementerian bagi memudahkan pelaksanaan sesuatu program pembangunan luar bandar,” katanya.

“Sebab itu saya telah meminta semua pegawai daerah seluruh Sabah supaya memaklumkan kepada saya projek pembangunan yang dibiayai kementerian persekutuan sebelum ini yang tidak melalui KPLB Sabah.”

“Ini penting agar KPLB Sabah dapat menyelaraskan semua program yang dilaksanakan atau dirancang oleh KPLB Persekutuan untuk masyarakat luar bandar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kampung Kobon Pitas, di sini, pada Sabtu. Kampung itu adalah antara kampung yang dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah.

Turut serta dalam lawatan kerja itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Hj. Dumi Pg Masdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Bolkiah Ismail, Timbalan Setiusaha Tetap KPLB Sualim Sanan dan Pegawai Daerah Pitas Bubudan OT  Majalu.

Mengenai Kemudahan asas seperti jalan raya dan bekalan elektrik di Kampung Kobon, Ewon berkata, kementerian akan memberi perhatian perkara itu.

“KPLB Sabah akan melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan jalan sepanjang 2 kilometer menuju ke kampung ini melalui peruntukan Kampung Sejahtera kementerian. Manakala bekalan elektrik luar bandar pula, Kg.Kobon bersama 23 buah kampung lain dalam daerah Pitas juga akan diambil tindakan sewajarnya.”

“Saya difahamkan bahawa permohonan untuk BELB di kesemua kampung itu telahpun diajukan kepada KPLB Persekutuan sebelum ini dan sudah ada komitmen oleh kerajaan yang lepas,” katanya.

Sehubungan itu katanya: “Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri KPLB Sabah untuk membuat susulan dan berbincang dgn KPLB Pusat untuk melihat semula komitmen yang mereka berikan sebelum ini”.

Ewon melakukan lawatan kerja dua hari pada Jumaat dan Sabtu, di Kota Marudu dan Pitas untuk melihat serta meninjau sendiri prestasi pembangunan program KPLB iaitu Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Getah di Kampung Kotud Kota Marudu, Mesej Kelapa Sawit di Kampung Tukar Pitas, Mesej Burung Walit di Kg. Kiandut Pitas dan Program Kg. Sejahtera Kg.Kobon Pitas.-pr/BNN