KENINGAU: Usaha menyemarakkan penyertaan pelajar pendidikan khas dalam bidang sukan terus mendapat perhatian apabila Unit Pendidikan Khas Kolej Vokasional Keningau menerima sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Mukim Kali, Mcnarwin Jerman, yang mewakili ADUN Liawan dalam satu kunjungan ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, baru-baru ini.
Turut hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Pembantu Pengurusan Murid Pendidikan Khas, Metta Marcella Michael bersama beberapa guru pendidikan khas lain.
Sumbangan itu diberikan bagi menyokong persiapan kontinjen pelajar istimewa yang bakal menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Sabah (KOPK MSSS) yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 8 Ogos ini di Kompleks Sukan Tambunan.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan penyertaan pelajar pendidikan khas dari seluruh Sabah dalam usaha mengasah bakat, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh keyakinan diri dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.
Menurut Metta, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu dari segi logistik dan kelengkapan pasukan, malah menjadi suntikan semangat yang amat bermakna buat para pelajar dan guru pengiring.
“Inisiatif ini menunjukkan bahawa masyarakat dan pemimpin setempat amat prihatin terhadap keperluan serta potensi anak-anak istimewa ini,” katanya.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen Annuar dalam menyokong pembangunan sahsiah dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar pendidikan khas di DUN Liawan.-pr/BNN





