KENINGAU: Sebatang dahan besar daripada pokok reput tumbang dan menghempap sebuah kenderaan yang melalui jalan utama Kampung Minansut petang tadi dalam kejadian hujan lebat berserta angin kencang antara jam 4 hingga 5 petang.

Kereta milik seorang penduduk kampung itu mengalami kerosakan pada cermin hadapan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sebatang dahan besar daripada pokok reput tumbang

Menurut penduduk, pokok sebesar sepemeluk dewasa itu masih tegak tetapi berada dalam keadaan condong dan berisiko tumbang sepenuhnya, mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama pelajar dan warga emas yang menggunakan laluan itu setiap hari.

Lebih mengecewakan, kejadian ini berlaku walaupun aduan rasmi telah dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Minansut, Mohuni Gawali, sejak 5 Jun lalu kepada pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Telekom Malaysia Cawangan Keningau.

Aduan itu memohon tindakan segera membersihkan dahan-dahan kayu yang tersangkut pada kabel telekomunikasi di sepanjang laluan ke Kampung Minansut dan Kampung Tangkongon, namun sehingga kini tiada maklum balas atau tindakan diambil.

“Jangan tunggu sampai ada yang terkorban baru mahu bertindak. Nyawa penduduk jadi taruhan setiap kali hujan dan angin kencang,” tegas Mohuni mewakili suara penduduk kampung.

Beliau menggesa pihak berkuasa melakukan kerja-kerja penebangan segera serta menilai semula keselamatan pokok-pokok tua di kawasan kampung yang berisiko.

Penduduk turut mencadangkan agar pemantauan berkala dilaksanakan, khususnya di lokasi berhampiran jalan utama dan infrastruktur utiliti, bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.-pr/BNN