KOTA KINABALU: Peguam kepada ibu mangsa, Zara, menafikan dakwaan tular yang mendakwa kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam mesin basuh, sambil menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan mencemarkan privasi pihak berkaitan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri menegaskan bahawa anak guam mereka tidak pernah memaklumkan kepada sesiapa bahawa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh seperti yang digambarkan dalam sebuah video tular.

“Video seorang wanita mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah spekulasi semata-mata. Anak guam kami tidak pernah menyatakan perkara itu kepada sesiapa. Kami memohon wanita tersebut tampil memberi maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Turut dinafikan ialah penyebaran gambar kronologi yang menunjukkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I pada jam 8.00 pagi, 16 Julai lalu.

“Maklumat berkenaan tidak datang daripada anak guam kami dan merupakan satu lagi bentuk spekulasi,” katanya lagi.

Peguam juga menegaskan bahawa tindakan menyebarkan gambar pelajar sekolah dan membuat kenyataan negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Malah, penyebaran senarai nama pelajar yang mengandungi maklumat peribadi mereka turut diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan kandungan terbabit dan segera memadam video serta gambar yang telah dimuat naik.

“Spekulasi sebegini hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami yang sedang melalui saat sukar,” jelas kenyataan itu.

Peguam juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes Zara agar menyalurkannya terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan secara sah dan beretika.-pr/BNN