KUALA LUMPUR: Golongan belia dan mahasiswa Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan undi pos, peluang kerjaya selepas pengajian serta pelaksanaan tuntas hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Pengerusi Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) di Semenanjung, Muhammad Faisal Mohidin berkata, suara anak Sabah yang merantau tidak boleh diketepikan, khususnya melibatkan keperluan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

Beliau berkata demikian selepas sesi Dialog Khas bersama Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam SMK Bongawan, yang turut menyentuh isu tuntutan 20 perkara MA63, prospek kerjaya dan mekanisme pengundian bagi warga Sabah di perantauan.

“Isu undi pos bagi anak Sabah di Semenanjung bukan isu baharu. Kita lihat bagaimana kerajaan Indonesia melaksanakan pengundian luar negara untuk warganegara mereka di Malaysia, malah disediakan fasiliti lengkap termasuk di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Tetapi pengundi Sabah dan Sarawak masih tidak diberi kemudahan setara,” katanya.

Menurut Faisal, dianggarkan lebih 400,000 warga Sabah menetap di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk warga Sarawak, dan jumlah itu seharusnya cukup signifikan untuk dipertimbangkan dalam pelaksanaan dasar undi pos menjelang PRN akan datang.

Katanya, isu itu perlu diangkat oleh wakil rakyat di semua peringkat — Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) — untuk dibahaskan secara rasmi agar ia menjadi sebahagian daripada agenda pembaharuan sistem demokrasi di negara ini.

Faisal yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, mahasiswa turut menyuarakan keresahan terhadap peluang pekerjaan selepas tamat pengajian, khususnya dalam sektor penting seperti pendidikan, pertanian, kesihatan dan keusahawanan.

“Mereka berharap kerajaan negeri dapat bertindak lebih proaktif dalam memperluas peluang kerjaya, sekali gus memastikan anak muda Sabah tidak tercicir dalam pembangunan arus perdana negara,” jelasnya.

Beliau turut menggesa penubuhan sebuah sekretariat khas di bawah Kerajaan Negeri Sabah bagi menjaga kebajikan anak Sabah yang bermastautin di Semenanjung, selaras dengan cadangan yang telah dikemukakan kepada Ketua Menteri sejak 2013.

“Cadangan ini saya kemukakan semula pada tahun 2023 kepada Ketua Menteri sekarang, dan turut dibawa ke perhatian Timbalan Ketua Menteri serta Sekretariat SMJ. Ia wajar diletakkan di bawah seliaan Jabatan Ketua Menteri atau Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur,” katanya.

Faisal menegaskan, segala tuntutan ini bukan bersifat politik semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada keperluan asas rakyat Sabah yang mahukan keadilan, pengiktirafan dan layanan setara tidak kira di mana mereka berada.

“Ini soal kestabilan, kecekapan dan kredibiliti kerajaan negeri membela seluruh rakyat Sabah, termasuk yang menetap di Semenanjung,” katanya lagi.-pr/BNN