TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan lawatan ke Kampung Tinagat susulan aduan daripada ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan dan penduduk setempat mengenai kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan.
Dalam lawatan itu, MCMC bersama JKKK Kampung Tinagat menjalankan ujian kualiti liputan dan prestasi komunikasi di tiga lokasi yang dikenal pasti.
Hasil ujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji gagal memenuhi standard mandatori MCMC.
Keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan berkaitan pada 29 Mei 2026 untuk tindakan lanjut.
Penyedia perkhidmatan diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas dan pelan tindakan, manakala notis di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
Bagi mempercepatkan penambahbaikan, MCMC telah mengarahkan CelcomDigi melaksanakan langkah meningkatkan liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan panjang.
Maxis pula diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.
MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan tersebut bagi memastikan penduduk setempat menerima perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti. -pr/BNN





