KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) berikrar menyelesaikan masalah pembangunan Kg. Sembulan secara tuntas demi kepentingan penduduk asal orang Sembulan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang juga Calon BN DUN Petagas berkata, beliau mewakili 2 lagi Calon BN bagi Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh dan Calon BN bagi DUN Tanjung Aru, Datuk Ir.Edward Yong berikrar mempertahankan Kg. Sembulan dengan mengambil tindakan positif hingga masalah pembangunan perkampungan itu selesai.
Yahya yang juga Ketua Bahagian Umno Putatan berkata, satu jawatankuasa khas melibatkan ketiga-tiga calon itu akan ditubuhkan dengan penglibatan wakil bagi setiap kawasan DUN dan parlimen dibentuk bagi membincangkan pembangunan kampung warisan asal usul orang Sembulan itu.
“ Ini termasuklah membincangkan secara terperinci perjanjian yang boleh digunapakai bagi kepentingan semua pihak khususnya pemilik tanah bergeran bagi kampung tersebut”, katanya.
Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Program Pemimpin Bersama Rakyat di Balai Raya Kg. Sembulan Lama dekat sini, semalam.
Sehubungan itu, Yahya mahu penduduk di Kampung Sembulan khasnya dan kawasan Putatan khususnya terus mengundi BN bagi memastikan ketiga-tiga calon BN dalam Parlimen Putatan menang dengan mejoriti yang besar.
Terdahulu dalam ucapannya di majlis sama, Ir Edward Yong berkata, Ketua Menteri Sabah sendiri memberi jaminan bahawa pembangunan kampung sembulan tidak akan dilaksanakan tanpa persetujuan dan kehendak penduduk asal kampung tersebut terutama pemilik tanah kampung itu.
Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hanya dibenarkan membuat pelan pembangunan dengan pengetahuan dan persetujuan penduduk asal kampung tersebut dan Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, Dr. Marcus pula menegaskan dalam ucapannya, pembangunan kampung tersebut perlu dilaksanakan segera demi memastikan belia di kawasan tersebut tidak berhijrah ke luar bagi merebut peluang pekerjaan termasuklah ke Singapura dan ibu negara.
Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku, Sabah akan mengalami kekurangan tenaga kerja di kalangan belia ekoran perhijrahan mereka untuk mencari pekerjaan.
Sementara itu, Bendahari UMNO Bahagian Putatan, Datuk Haji Ibrahim OKK Laiman Diki yang juga Pengerusi Penganjur majlis itu dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putatan, Puan Juliah Palasin menyampaikan sumbangan berupakan bungkusan makanan dan cermin mata kepada 200 orang warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) kampung tersebut menjelang Bulan Ramadhan.-Pr/BNN