KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah menegaskan komitmen parti itu untuk terus mempertahankan kestabilan politik negeri dan negara, sekali gus menolak sebarang tanggapan bahawa kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi liabiliti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri, berkata pihaknya menghargai kritikan dan teguran daripada pimpinan GRS berhubung laporan media yang disiarkan baru-baru ini, namun menegaskan kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah telah disalahertikan.

Menurutnya, kenyataan itu sebenarnya adalah respon terhadap pandangan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi, pada 14 Ogos lalu dan bukan bermaksud mencabar GRS atau Perdana Menteri.

“Pengerusi MPN hanya melahirkan kegusaran terhadap pandangan berkenaan, bukan meletakkan GRS sebagai beban dalam kerjasama politik.

:Fakta utama yang diketengahkan ialah bagaimana KEADILAN Sabah komited memastikan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Farid menegaskan, hubungan baik antara PH dan GRS perlu diperkukuhkan, bukan dipersoalkan, kerana komitmen Perdana Menteri bersama PH Sabah sebelum ini telah menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada cubaan menukar tampuk kepimpinan menerusi episod dikenali sebagai Langkah Kinabalu.

“KEADILAN Sabah amat menghormati kepimpinan Ketua Menteri dan menghargai kerjasama erat GRS–PH. Namun, janganlah pandangan kami disalah tafsir hanya kerana laporan media yang kadang kala tidak menggambarkan intipati sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, KEADILAN Sabah turut menggesa rundingan pengagihan kerusi disegerakan dengan adil serta strategik.

Jelasnya, proses itu mesti dilaksanakan bersama pimpinan PH Sabah, bukan hanya dengan parti-parti komponen secara berasingan.