SANDAKAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pagi kelmarin (Ahad)
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa yang terjejas dalam kebakaran yang disifatkan sebagai antara yang terbesar melibatkan kawasan penempatan berkenaan.
“Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan. Kebakaran ini adalah satu kebakaran yang agak besar, melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, pada Isnin.
Menurutnya, sebagai bantuan permulaan, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sebanyak RM2,000, merangkumi bantuan khas RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.
“Kita berharap bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mereka sekarang ini,” katanya.
Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Hajiji berkata, tahap kemusnahan di kawasan itu sangat besar dengan hampir keseluruhan kampung musnah sepenuhnya.
Beliau menjelaskan, kawasan berkenaan sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah UNHCR, namun sudah dikeluarkan dan kerajaan bercadang membangunkannya menjadikan perkampungan yang sah untuk Kampung Bahagia.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa kebakaran dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kira-kira 70 peratus daripada mangsa yang terlibat adalah bukan warganegara, manakala hanya 30 peratus mangsa kebakaran merupakan warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bantuan tetap akan diberikan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.
Mengulas perancangan pembangunan semula, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk menimbus kawasan berkenaan bagi tujuan pembinaan perumahan, yang dijangka melibatkan kos yang besar.
“Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, namun ini melibatkan kos yang agak banyak,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri akan menunggu laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan sebelum membuat keputusan lanjut.
“Kita terima dulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, apakah cadangan-cadangan alternatif yang mereka kemukakan. Dari sana kita akan mengambil tindakan,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran buat masa ini.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk membantu mangsa serta mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Mengiringi lawatan Hajiji ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Julita Majungki; Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan,Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Maijol Mahap, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Ag Shahminan Datuk Haji Ag Sahari serta Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Hajah Diyanah Abdullah.-pr/BNN





