KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Jonnybone Kurum, mengecam keras tindakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menghentikan bayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta memperkenalkan jawatan baharu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK).
Beliau berkata, langkah itu hanya mengundang kekeliruan serta menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat di peringkat akar umbi apabila jawatan JPKK tersebut diserahkan kepada lantikan politik daripada UMNO dan Warisan.
“Perkara ini jelas satu cubaan melemahkan perpaduan rakyat di peringkat kampung. Namun, Kerajaan Negeri GRS tetap berpendirian teguh dengan terus menyalurkan bayaran kepada JKKK menggunakan dana sendiri, tanpa bergantung kepada Persekutuan.
“Ini bukti kerajaan negeri lebih bertanggungjawab dan berdikari,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Persediaan Pemuda GRS di sini, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Pemuda GRS turut bersetuju melantik Ketua Penyelaras Pemuda di setiap kawasan Parlimen sebagai sebahagian usaha memperkukuh jentera pemuda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Jonnybone menegaskan, PRN kali ini merupakan ujian terbesar buat rakyat Sabah kerana ia bakal menentukan sama ada negeri ini kekal bebas daripada penguasaan parti-parti nasional atau kembali terikat seperti hampir tiga dekad lalu.
“Di bawah kepimpinan kerajaan negeri GRS, Sabah menikmati autonomi, kestabilan dan pencapaian yang tidak pernah kita capai sebelum ini.
“GRS kini menjadi payung besar kepada lapan parti tempatan – PGRS, PBS, STAR, SAPP, USNO, PHRS, PCS dan LDP – satu penyatuan yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat bahawa tangan-tangan luar masih berusaha menggugat kestabilan itu.
Menurutnya, sekiranya GRS tumbang, Sabah mungkin terpaksa menunggu 15 hingga 20 tahun lagi untuk menyaksikan semua parti tempatan bersatu di bawah satu wadah seperti yang ada hari ini.
“Pemuda GRS berikrar mempertahankan maruah dan masa depan Sabah. Kita tidak akan biarkan negeri ini kembali ke era kegelapan. Ini masa kita, ini masa Sabah,” tegasnya.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan bagi Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GRS dan penyampaian watikah pelantikan Penyelaras Pemuda Bahagian yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat. – pr/BNN





