KENINGAU: Masyarakat daerah ini dikejutkan dengan pendedahan mengejutkan apabila dua remaja perempuan Tingkatan Dua menjadi mangsa sindiket pelacuran yang beroperasi di hotel sekitar pekan ini.
Rahsia gelap itu terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis pada 24 Julai lalu, yang membawa kepada operasi besar-besaran pihak berkuasa antara 24 hingga 29 Julai.
Hasilnya, sindiket terbabit berjaya ditumpaskan, sekali gus membuka mata masyarakat bahawa ancaman moral kini berada begitu dekat dengan rumah sendiri.
Seorang wanita berusia 18 tahun, dikenali sebagai Elly, dipercayai bertindak sebagai ‘ibu ayam’ yang merekrut mangsa, kini didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Siasatan mendapati suspek menggunakan aplikasi media sosial bagi mencari pelanggan dengan bayaran sekitar RM200 setiap perkhidmatan, memperlihatkan modus operandi sindiket yang semakin licik dan berani memanipulasi remaja sekolah.
Pengetua Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Keningau, Puan Rozie Gitang, penerima Anugerah Khas Tokoh Kaamatan Daerah Keningau 2025, menzahirkan kebimbangan mendalam dan memuji ketangkasan polis dalam membongkar kes ini.
“Gejala ini bukan sahaja menjejaskan pelajar dan reputasi ibu bapa, malah mencemarkan imej institusi pendidikan sebagai tempat melahirkan generasi seimbang dari segi rohani, jasmani dan moral. Jika tidak dibanteras segera, ia mampu meruntuhkan moral pelajar muda dan menghancurkan masa depan mereka,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa jenayah seumpama ini kini bukan lagi berlaku di luar negeri, sebaliknya telah menular ke pekan sendiri.
“Ibu bapa, guru dan masyarakat mesti berganding bahu sebelum lebih ramai remaja menjadi mangsa,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, menekankan kepentingan kerjasama komuniti dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan anak-anak remaja serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Kesedaran awal, tindakan pantas pihak berkuasa dan penglibatan masyarakat dianggap benteng utama dalam mengekang jenayah yang mengancam masa depan generasi muda. Pelajar pula diingatkan agar menolak pengaruh negatif, berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai moral demi menjaga maruah diri dan harapan keluarga.-pr/BNN





