KENINGAU: Pengorbanan dan dedikasi barisan kesihatan di Hospital Keningau mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan khas kepada Unit Jabatan Pembedahan Am bagi menjayakan Hari Apresiasi Warga Kerja 2025.

Sumbangan itu disampaikan melalui wakil beliau, Puan Heldahwati Juhasin, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen warga jabatan yang sentiasa memberi perkhidmatan berkualiti kepada pesakit dan komuniti setempat.

Majlis apresiasi tersebut diadakan khusus bagi meraikan pengorbanan warga Jabatan Pembedahan yang sering berdepan tekanan tugas namun tetap mengutamakan kebajikan serta keselamatan pesakit.

Ketua Jururawat, Ainul Marnizah Arimin, selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Apresiasi Jabatan Pembedahan 2025, hadir menerima sumbangan berkenaan dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, semalam.

Sumbangan itu bukan sahaja memberi sokongan moral kepada warga jabatan, malah menjadi pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka sebagai barisan penting sistem kesihatan daerah ini.-pr/BNN