KENINGAU: Persatuan Gana Sabah (PGS) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes remaja diperdaya sindiket pelacuran, susulan penahanan seorang wanita dikenali sebagai Elly yang disyaki mengeksploitasi pelajar sekolah di daerah ini.
Timbalan Presiden PGS, Guptah V.G. Nair, berkata kejadian itu memberi isyarat jelas bahawa gejala pemerdagangan remaja boleh terus berulang sekiranya masyarakat tidak segera bertindak secara kolektif.
“Anak muda Sabah adalah warisan kita, bukan untuk dijual atau dieksploitasi. PGS amat prihatin terhadap masa depan generasi ini. Ibu bapa perlu lebih memantau pergerakan anak-anak, sekolah dan PIBG mesti proaktif, manakala komuniti wajar menggalakkan pendidikan agama, moral serta aktiviti kemasyarakatan sebagai benteng melawan sindiket,” katanya.
Beliau menegaskan faktor tekanan ekonomi, pengaruh internet, pergaulan bebas serta kelonggaran kawalan keluarga membuka ruang luas kepada sindiket memperdaya remaja, justeru pemantauan rapat di rumah mahupun di peringkat kampung sangat diperlukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, mengesahkan penahanan suspek hasil siasatan rapi berasaskan maklumat orang awam.
Menurutnya, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana mengeksploitasi remaja untuk tujuan pelacuran, selain Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).
“Tangkapan ini bukti keseriusan polis membanteras sindiket yang cuba memperdagangkan remaja kita. Polis tidak akan berkompromi dan akan terus memburu saki-baki sindiket yang masih bebas,” tegas beliau.
PGS dalam kenyataannya menegaskan, pihaknya akan terus berdiri di barisan hadapan membela generasi muda Sabah, selain menggesa kerjasama erat antara masyarakat, sekolah dan pihak berkuasa bagi memastikan isu pemerdagangan manusia tidak berakar di Keningau mahupun di negeri ini secara keseluruhan.-pr/BNN





