KOTA KINABALU: Danum Valley Tarikan Amfibia, Pasukan BRL Raih Tempat Kedua Pertandingan Foto Antarabangsa

Danum Valley Conservation Area terus membuktikan kekayaan biodiversitinya apabila 56 spesies amfibia direkodkan di kawasan hutan hujan tropika itu, termasuk Katak Batu Belang Hitam (Staurois guttatus) yang berjaya dirakam menggunakan telefon pintar.

Rakaman itu dibuat oleh pasukan pemandu alam semula jadi Borneo Rainforest Lodge (BRL) yang diketuai oleh naturalis muda, AK Mohd Shahrin Nizam Haisron, ketika katak berkenaan sedang berehat di atas batu sungai.

Hasil kreativiti tersebut membuahkan kejayaan apabila pasukan BRL diumumkan sebagai naib juara bagi Kategori Fotografi Telefon Pintar pada Pertandingan Katak Borneo Antarabangsa ke-11 baru-baru ini.

Panel juri memuji komposisi gambar yang menarik, keseimbangan warna semula jadi, keserasian dengan latar belakang hutan hujan, serta ekspresi tenang subjek yang jelas melalui anak mata terbuka luas katak tersebut.

Pengiktirafan itu dianggap amat bermakna kerana mencerminkan bakat pasukan BRL dalam penceritaan visual, selain rasa hormat mereka terhadap hidupan liar Danum Valley. Ia juga seiring dengan falsafah BRL yang menggabungkan pendidikan, pemuliharaan dan pengalaman menyeluruh bagi mendekatkan orang ramai dengan biodiversiti Borneo.

Selain itu, Shahrin turut mewakili BRL sebagai penceramah dalam Bengkel Mamalia dan Herpetofauna untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi baharu bagi pemerhatian mamalia dan herpetofauna, sepertimana aktiviti ‘birding’ bagi penggemar burung.

Penglibatan itu membuktikan komitmen berterusan BRL dalam meningkatkan kesedaran saintifik serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab ekopelancongan.

Terletak jauh di dalam Hutan Simpan Danum Valley yang diwartakan sebagai Hutan Kelas I, BRL menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk meneroka salah satu ekosistem paling kaya di dunia dengan bimbingan pemandu bertauliah RSTG.

“Kami amat berbangga dengan Shahrin dan seluruh Pasukan Pemandu Alam BRL atas pencapaian cemerlang ini,” kata Freddie Coleman, Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Nature Tours Sdn Bhd dan Innoprise Jungle Lodge Sdn Bhd.

“Semangat, kepakaran lapangan dan kreativiti mereka menjadi teras pengalaman tetamu di BRL. Pengiktirafan ini mencerminkan roh BRL serta dedikasi kami melahirkan duta alam semula jadi generasi baharu.”-BNN