BONGAWAN: Rakyat di kawasan Kimanis perlu terus memberi mandat kepada calon-calon Barisan National (BN) yang bertanding di Parlimen Kimanis bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang berterusan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin berkata, Parlimen Kimanis mengalami perubahan pembangunan dan kemajuam yang ketara berkat usaha daripada Wakil-Wakil Rakyat BN.
“Pembangunan dan perubahan yang ketara ini adalah hasil daripada perancangan dan usaha gigih yang dilakukan oleh Wakil-Wakil Rakyat dan Kerajaan BN”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengagihan Ternakan dan Sijil Malaysia Good Agricultural Practices (MyGAP) untuk sektor ternakan kepada penternak dari beberapa daerah di pejabat Jabatan Perkhidmatan Vetenari dekat sini, hari ini.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, rakyat Kimanis amat beruntung kerana calon BN Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang juga merupakan Menteri Luar Negeri.
“Anifah merupakan Menteri Luar yang paling cemerlang kerana hubungan baiknya dengan pembesar-pembesar luar negara termasuk dengan negara-negara kuasa besar dunia.
“Justeru rakyat di Kimanis tiada sebab untuk tidak memberikan sokongan dan mandat kepada calon-calon BN yang bertanding di Parlimen Kimanis termasuk Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd.Arif bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan Datuk Mohamad Alamin bagi DUN Bongawan”, tegasnya.
Yahya berkata, rakyat negeri ini beruntung kerana kerajaan BN sentiasa berusaha membantu rakyatnya termasuk masyarakat penternak.
“Kerajaan BN memberi bantuan bibit ternakan seperti kambing dan lembu secara percuma kepada para penternak bagi meningkat pendapatan mereka, selain membantu meningkat pengeluaran daging ruminan negeri”, tambahnya.
Seramai 33 penternak daripada beberapa daerah menerima agihan ternakan melibatkan 12 menerima ternakan kambing, 13 menerima kambing tenusu dan 8 orang menerima lembu tenus.
Sementara itu seramai 81 orang pemilik rumah sarang burung walit dari Beaufort, Membakut, Menumbuk, Sipitang, Papar dan Beaufort menerima Sijil MyGAP.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Veterinary Sabah, Dr Nasib Elai.
Setakat ini Jabatan Veterinary telah mendaftar sebanyak 1281 rumah burung walit. 350 daripadanya sudah dapat persijilan MyGAP dan boleh mengeksport ke luar negara terutama negara China.-pr/BNN