KENINGAU: Pasukan Wiramuda Liawan membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah yang tular di media sosial mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, dengan perlindungan terhadap pembuli hingga dikaitkan dengan kematian seorang pelajar.
Laporan itu dibuat oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Adzra Jasni @ Addy, pada jam 11.36 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Fitnah berkenaan dipercayai dimuat naik oleh akaun Facebook bernama Aiman QMan pada 24 Ogos lalu di laman Apa Cerita Keningau.
Antara dakwaan yang ditularkan ialah kononnya Datuk Annuar bersekongkol melindungi pembuli hingga membawa kepada kematian seorang pelajar dikenali sebagai arwah Zara, selain seruan agar beliau ditumbangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pasukan Wiramuda Liawan menegaskan tuduhan itu tidak benar, berniat jahat serta jelas mencemarkan nama baik dan kredibiliti Annuar sebagai wakil rakyat.
“Annuar tidak pernah terlibat dalam perkara yang dinyatakan. Tuduhan ini jelas merupakan serangan politik kotor yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Kami menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita rekaan yang sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana,” kata jurucakap Wiramuda Liawan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta polis menyiasat pemilik akaun terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Sebagai bukti, beberapa tangkapan layar (screenshot) komen berunsur fitnah serta gambar berkaitan turut diserahkan kepada pihak berkuasa.
Wiramuda Liawan menegaskan, biarpun berdepan tohmahan, Annuar tetap fokus menunaikan tanggungjawab membangunkan kawasan Liawan dan menjaga kebajikan rakyat.
“Fitnah boleh menggoncang, tetapi kebenaran tetap berdiri teguh,” tegas kenyataan itu.-pr/BNN





