KENINGAU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan dijangka menjadi antara medan paling hangat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan penyandangnya, Datuk Annuar Ayub Aman (STAR) bersedia mempertahankan kedudukannya berbekalkan rekod lima tahun khidmat yang dilihat sebagai senjata paling ampuh.
Sejak memenangi kerusi itu pada PRN lalu, Annuar memberi fokus kepada pembangunan asas dan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Antara inisiatifnya termasuk menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan, menyokong penganjuran program belia, menyalurkan bantuan pendidikan, selain menggerakkan aktiviti kerohanian serta perpaduan masyarakat.
Pendekatan itu menyerlahkan gaya kepimpinan berorientasikan tindakan, bukan sekadar retorik. Bagi pemerhati politik, lima tahun rekod perkhidmatan itu menjadi “papan tanda sebenar” Annuar – bukti kerja nyata yang lebih berkesan berbanding kata-kata besar.
Namun laluan untuk mengekalkan Liawan bukan mudah. UMNO dan Warisan – dua parti yang pernah menguasai kerusi ini – dijangka kembali mengemukakan calon dengan naratif kesinambungan legasi.
Parti KDM pula mengetengahkan seorang mantan guru besar sebagai calon, menekankan kredibiliti pendidikan sebagai aset utama.
Parti baharu, Parti Impian Sabah (PIS), sudah mengumumkan hasrat bertanding di semua 73 kerusi dengan lebih 60 calon diumumkan setakat April lalu. PIS menegaskan akan bergerak solo, malah sanggup menjadi pembangkang sekiranya gagal meraih majoriti.
Selain itu, DUN Liawan turut dijangka menyaksikan kehadiran calon daripada Perikatan Nasional (PN), DAP, PBRS, PCS, USNO, SAPP, calon bebas termasuk kumpulan digelar “gelombang hitam”, selain parti-parti baharu yang masih belum diuji kekuatan. Terbaru,
Warisan mengesahkan akan bertanding di semua kerusi DUN tanpa sebarang pakatan, sekali gus menambahkan lagi kemungkinan pertandingan pelbagai penjuru.
Di sebalik ramainya pencabar, kekuatan Annuar terletak pada penguasaan akar umbi serta sokongan padu daripada sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. STAR, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), SAPP, PBS, PCS dan USNO menjadi tulang belakang jentera politiknya.
Sokongan daripada pengundi muda berusia 18 tahun ke atas serta komuniti Tionghua yang cenderung memilih kepimpinan berasaskan prestasi nyata turut dilihat memberi kelebihan.
Bagaimanapun, Annuar tetap berwaspada, tidak memandang rendah kemampuan lawan, sebaliknya menganggap persaingan sebagai dorongan untuk terus membumi dalam khidmat kepada rakyat Liawan.
Dengan sejarah Liawan yang pernah bertukar tangan antara UMNO dan Warisan, PRN kali ini menjadi medan ujian besar buat Annuar. Namun reputasi lima tahun sebagai wakil rakyat aktif dan jentera politik yang kukuh dilihat memberi kelebihan jelas kepadanya.
Bagi Annuar, rekod adalah hujah utama – dan dalam dunia politik, seperti juga di mahkamah, bukti nyata jauh lebih bernilai daripada janji manis.-pr/BNN





