KENINGAU: Kira-kira 400 penduduk Kampung Minansut kini menarik nafas lega apabila jalan konkrit utama di kampung itu siap sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat besar kepada kelancaran urusan harian serta pembangunan ekonomi masyarakat setempat.
Jalan yang menjadi nadi perhubungan penduduk itu bukan sahaja memudahkan akses ke sekolah, tempat kerja dan pekan berhampiran, malah turut meningkatkan kesejahteraan hidup serta mempercepatkan pengangkutan hasil pertanian.
Projek berkenaan terlaksana hasil sokongan dan komitmen berterusan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, yang menegaskan pembangunan prasarana luar bandar adalah keutamaan beliau sejak diberi mandat oleh rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mahuni Gawali berkata, siapnya jalan itu adalah satu rahmat besar buat penduduk.
“Jalan ini adalah denyut nadi utama yang amat dinantikan sejak sekian lama. Terima kasih kepada YB Datuk Robert kerana mendengar suara rakyat dan memastikan projek ini berjaya direalisasikan,” katanya ketika ditemui.
Penduduk kampung turut menzahirkan rasa syukur dengan siapnya jalan berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan wakil rakyat terhadap keperluan luar bandar, seiring dengan usaha membangunkan Bingkor secara menyeluruh.-pr/BNN





