SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor disifatkan sebagai pemimpin yang mengutamakan penyatuan rakyat berbanding kepentingan politik kepartian.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan) Sungai Sibuga, Henry Haji Hamdan, berkata kerjasama yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri lalu membuktikan kepimpinan Hajiji lebih mementingkan kestabilan serta keharmonian rakyat.

“Ketua Menteri membuat agihan jawatan menteri dan pembantu menteri dengan seimbang serta saksama kerana beliau mengutamakan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Henry mengulas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, yang didakwanya tidak wajar kerana memperlihatkan kelemahan parti sendiri.

Menurutnya, tidak seharusnya seorang pemimpin memainkan agenda ‘undur’ semata-mata untuk menutup masalah dalaman, lebih-lebih lagi ketika Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih berdepan kes mahkamah.

“Pelbagai bantuan telah diperkenalkan oleh Ketua Menteri, daripada sektor pendidikan hinggalah ke program akar umbi, semuanya demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Henry menegaskan Hajiji wajar dipertahankan dan dikekalkan sebagai Ketua Menteri Sabah kerana pendiriannya ketika ini tepat serta memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri.-pr/BNN