KENINGAU: Program Jalinan Kasih Rakyat DUN Bingkor bersempena Sambutan Hari Malaysia di Mukim Apin-Apin berlangsung meriah dengan kehadiran ratusan penduduk setempat di Dewan Kampung Kirokot, di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pemuda GRS Keningau, Rafie Robert, yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Dalam ucapannya, Rafie menegaskan penganjuran program sebegini bukan sekadar wadah mempererat silaturahim, malah membuka ruang kepada komuniti menjana ekonomi melalui aktiviti perniagaan serta penglibatan usahawan kecil.

“Sambutan Hari Malaysia ini menjadi landasan terbaik untuk kita menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat. Kehadiran masyarakat dari pelbagai latar belakang membuktikan muafakat terus subur di Bingkor,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Robert yang kini dalam proses pemulihan kesihatan dan dijangka kembali bersama rakyat dalam masa terdekat. Robert juga menzahirkan penghargaan serta sokongan penuh terhadap penganjuran program itu.

Rafie turut menyeru rakyat Bingkor terus memberi sokongan padu kepada agenda pembangunan yang digerakkan oleh ADUN mereka demi memastikan kesinambungan kebajikan dan kemajuan daerah.

Katanya, sokongan berterusan akan merealisasikan hasrat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) 2.0, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pemeriksaan mata percuma oleh Syarikat Robert T., kaunter pembukaan akaun baharu oleh CIMB Bank Cawangan Keningau, pemberian lampin pakai buang serta roti kering percuma oleh Syarikat Kim Teck Cheong, selain pertandingan mewarna kanak-kanak.

Kemeriahan sambutan menggambarkan keprihatinan bersama pemimpin dan masyarakat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Bingkor, di samping memperkukuh budaya gotong-royong serta semangat perpaduan.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran pemimpin akar umbi, antaranya para Ketua Kampung Mukim Apin-Apin; Deanis Lakatong, Kamis Dangu, Arisin Lamatang, Ali Maduli, serta Ketua Kampung Rungus Apin-Apin, selain barisan Pengerusi JKKK Kampung Ansip, Apin-Apin, Gampadi, Kirokot, Pampangai, Linsosod, Rangalau Baru, Rangalau Lama, Alutok, Lumiri dan Kilugus.

Turut hadir Jawatankuasa Masjid dan pemimpin masyarakat lain yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

Program ini dianjurkan oleh Pejabat Wakil Rakyat N.40 Bingkor dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor, Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor.-pr/BNN