BINGKOR : Pasukan Khas Kecemasan DUN Bingkor yang ditubuhkan semalam oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, mula digerakkan seawal pagi ini bagi menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Bingkor.

Pasukan itu digabungkan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor dengan sokongan Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, sekali gus memperkukuh tenaga kerja dalam melaksanakan misi kemanusiaan tersebut.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, berkata beliau tidak mahu berlengah untuk menggerakkan jentera berkenaan kerana nasib rakyat yang terkesan akibat banjir perlu segera dibela.

“Kita tahu bagaimana rasanya berdepan situasi begini kerana ia sudah beberapa kali berlaku. Kerajaan berusaha menaik taraf dan membaiki infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir, tetapi bencana alam adalah ketentuan Tuhan yang tidak mampu kita hindari,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.

Robert berharap bantuan yang disalurkan Pasukan Khas Kecemasan DUN Bingkor sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa, selain menjadi bukti keprihatinan pemimpin dan masyarakat dalam menghadapi musibah bersama-sama.-pr/BNN