KENINGAU : Program pembangunan belia Katolik Zon Bingkor, Bingkor Youth Camp 2.0 (BYC 2), bakal menghimpunkan ratusan belia dari Zon Bingkor serta kawasan sekitar termasuk Keningau, Beaufort, Tenom dan Kota Kinabalu dalam perhimpunan empat hari bermula 15 hingga 18 September ini di Gereja St. Mary Bingkor.
Acara yang memasuki edisi kedua itu bertujuan memperkukuh jalinan persaudaraan dalam kalangan belia Katolik di Sabah, selain mengasah kepimpinan dan menyemai semangat kebersamaan.
Kemuncak program akan berlangsung pada 17 September ini melalui aktiviti khas dinamakan Mission Walk. Bermula jam 7.30 pagi, para peserta akan berjalan secara berkumpulan dari Kampung Sandapak sambil melaksanakan tugasan diberikan, termasuk kerja amal memungut sampah di sepanjang laluan kampung berkenaan.
Koordinator BYC 2.0, Samuel Unau Asong Atam, berkata aktiviti itu dirangka bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan belia dengan masyarakat, malah menghidupkan semangat kesukarelawanan dalam diri generasi muda.
“Kami berharap ia bukan sekadar merapatkan hubungan dengan komuniti setempat, tetapi juga menjadi wadah pelayanan dan mendidik belia agar sentiasa peka terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.
Pihak penganjur turut mengalu-alukan kerjasama pemimpin masyarakat dan penduduk bagi menjayakan program itu.
Ketua Kampung Sandapak, KK Ambrus Enggu Ungkiu Singgon, dalam pada itu menyeru seluruh penduduk agar memberikan sokongan penuh dan bersama-sama menjayakan acara kerohanian belia tersebut.
“Program ini bukan sahaja bermanfaat untuk golongan muda, malah memberi impak positif kepada komuniti dengan melibatkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai program, orang ramai boleh menghubungi Koordinator BYC 2.0, Samuel Unau Asong Atam di talian 016-6119602 atau urusetia, Jennifer Erick di talian 011-29204688.-pr/BNN





