KENINGAU: Dentuman gong, persembahan kebudayaan dan lautan warna-warni pakaian tradisional menghidupkan suasana di Tugu Batu Sumpah, Muzium Warisan Keningau sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Keningau 2025, semalam.

Lebih 1,000 pengunjung membanjiri lokasi bersejarah itu, terdiri daripada pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai dari seluruh pelusuk daerah.

Acara dimulakan dengan nyanyian Negaraku, Sabah Tanah Airku, Sabah Maju Jaya dan lagu patriotik Malaysia Berjaya, sebelum bacaan Deklarasi Hari Malaysia disampaikan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Dr Benedict Topin, yang mengangkat semangat perpaduan dan keutuhan negara.

Turut hadir, ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman; ADUN Sook, Datuk Ellron Alfred Angin; ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng,Timbalan Penyelaras Parlimen P.180 Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub; Pegawai Daerah Keningau merangkap Pengerusi Penganjur, Peter Jonu Moinjil; Pengetua Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) DSP GS Sundang, Puan Rozie Gitang serta pemimpin masyarakat setempat.

Sorotan utama ialah perarakan bersejarah dari Hotel Perkasa menuju ke Tapak Batu Sumpah, diketuai Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, bersama Gabungan Orang Asal Sabah & Sarawak (GOASS) serta Dayak Ritual Awareness Fellowship (DRAF). Ketibaan mereka disambut dengan paluan gong, tarian tradisional Dusun Kujau dan adat istiadat penuh hormat.

Dalam ucapannya, Jeffrey menegaskan Hari Malaysia bukan sekadar pesta tahunan, sebaliknya kesempatan untuk merenung kembali asas penubuhan negara.

“Hari Malaysia adalah peringatan agar kita terus menghayati semangat MA63 demi harapan dan masa depan rakyat Sabah yang lebih sejahtera serta adil,” katanya.

Beliau menambah, Batu Sumpah di Keningau bukan sekadar bongkah batu, tetapi simbol janji dan perjanjian yang perlu dihormati.

“Jika janji itu dimungkiri, ia tidak ubah seperti janji terang bulan – indah diucapkan, namun hanya jadi hiasan malam,” tegasnya.

Majlis penuh bermakna itu sekali lagi mengangkat Keningau sebagai simbol perjuangan rakyat Sabah, manakala Batu Sumpah kekal saksi abadi kepada janji perpaduan, keadilan dan masa depan Malaysia yang inklusif.-pr/BNN