KENINGAU: Api perjuangan pendidikan dan semangat kesukanan di Liawan terus menyala apabila tiga pelajar yang bakal menjejakkan kaki ke universiti serta sebuah pasukan futsal belia menerima sokongan penuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Majlis penyampaian berlangsung di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan dengan disempurnakan oleh Pemaju Mukim Kali, Mcnarwin Jerman; Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian; dan Pembantu Operasi, Mohamad Raihan Jinode, mewakili Annuar.

Antara penerima sumbangan pendidikan ialah Hasni Abdullah yang diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Dengan Kepujian; Muhd Syaiful Adzim Ahmad Syam yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kognitif Dengan Kepujian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); serta Nurhamizah Basri yang melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Selangor.

Mereka menzahirkan rasa syukur dan teruja menerima sumbangan tersebut, yang disifatkan bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menjadi pembakar semangat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang serta kembali menyumbang kepada pembangunan daerah.

Dalam perutusannya, Annuar menegaskan bahawa pendidikan adalah asas utama bagi membina masa depan Liawan.

“Ilmu pengetahuan ialah jambatan masa depan. Setiap anak muda Liawan yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti membawa harapan keluarga dan komuniti. Tanggungjawab saya ialah memastikan mereka mendapat sokongan yang wajar agar tidak pernah berasa sendirian dalam perjuangan ini,” katanya.

Selain pendidikan, semangat belia dalam arena sukan turut diberi perhatian. Pasukan Kg. Limbawan Futsal Team menerima sokongan ikhlas daripada Annuar sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Kg. Kadalakan Futsal Team di Gelanggang Futsal Airport, Keningau, September ini.

Sokongan tersebut diterima oleh Ketua Pasukan Kg. Limbawan, Nellawaty Andilih. Beliau menyifatkan bantuan itu sebagai bukti keprihatinan wakil rakyat yang melihat sukan sebagai medium penting merapatkan komuniti serta mengangkat belia sebagai wira masa depan.

Gabungan sokongan dalam bidang pendidikan dan sukan ini jelas memperlihatkan komitmen berterusan Annuar untuk berdiri bersama rakyat, khususnya generasi muda, agar mereka tidak berasa sendirian dalam perjuangan membina masa depan yang lebih baik.-pr/BNN