KENINGAU: Kesihatan rakyat menjadi agenda utama apabila Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) di Dewan Terbuka Pisompuruan, Kampung Merapong, baru-baru ini.

Program berkenaan menyatukan pimpinan kerajaan, ketua jabatan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta komuniti tempatan.

Pendekatan “Whole of Nation” turut diketengahkan, dengan penekanan kepada perubahan paradigma daripada rawatan penyakit (sick care) kepada penjagaan kesihatan sebelum jatuh sakit (health care).

Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk senamrobik, saringan kesihatan, pameran infotainment kesihatan, aktiviti pencegahan Aedes serta Kempen War On Sugar.

Langkah ini dilihat mampu memupuk kesedaran dan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam membina gaya hidup sihat serta produktif.

Kempen ini mengetengahkan enam amalan utama yang perlu dipraktikkan masyarakat:

Bergerak aktif mengikut kemampuan.

Menjaga kesihatan mental dan hubungan sosial.

Mengamalkan pemakanan sihat serta mengawal pengambilan gula.

Menjauhi tabiat berisiko seperti merokok.

Menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Melakukan pemeriksaan kesihatan dan gigi secara berkala.

Dalam ucapannya, Dr Jeffrey menegaskan, budaya hidup sihat adalah kunci melahirkan generasi produktif, bahagia serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Beliau sempat berseloroh mengenai amalan mengawal pengambilan gula. “Gula – satu sudu teh sudah cukup. Kurang lebih lebih baik, kalau tiada lagi terbaik! Lagipun, urang Sabah sudah cukup manis bah, kenapa mau tambah gula lagi,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa kesihatan adalah tanggungjawab bersama. “Marilah kita bina generasi Malaysia yang lebih sihat, bahagia dan berdaya tahan,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Perhubungan P180 Keningau, Datuk Lawrence Gimbang; Timbalan Penyelaras Parlimen P180 Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub; Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil; DSP Alizam Hj Dalaman serta ketua jabatan kerajaan, wakil komuniti dan pemimpin tempatan.-pr/BNN