KENINGAU: Kepedulian seorang pemimpin terserlah bukan hanya ketika rakyat menikmati kesenangan, tetapi lebih bermakna apabila beliau hadir saat mereka berdepan kesusahan.
Timbalan Penyelaras STAR Parlimen P180 Keningau, Dato’ Ishak Datuk Ayub, turun padang meninjau kerosakan tali air di Kampung Semangkok dan Kampung Sungoi, Apin Apin, yang terjejas teruk akibat banjir luar biasa baru-baru ini.
Kehadiran beliau memberi kelegaan kepada para pesawah yang selama ini bergantung penuh kepada sistem pengairan untuk kelangsungan sawah mereka. Lebih bermakna apabila Ishak sendiri mendengar luahan hati petani dan melihat kerosakan di lapangan.
Dalam suasana bergotong-royong bersama penduduk kampung melakukan kerja-kerja pembaikan sementara, beliau turut menghulurkan sumbangan kecil bagi menampung kos makan dan minum pesawah sepanjang usaha membaik pulih dilakukan, sementara menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Keningau.
“Keprihatinan pemimpin seperti ini memberi semangat dan harapan baharu kepada kami,” kata Ketua Kelompok Pesawah, Marcellius Tukar, yang turut hadir bersama petani lain.
Ishak menegaskan bahawa kepimpinan tidak harus hanya terhenti pada janji di atas kertas, sebaliknya mesti dizahirkan melalui tindakan nyata yang menyentuh kehidupan rakyat.-pr/BNN





