KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa kerajaan Persekutuan menyelaraskan harga runcit petrol RON95 di Sabah pada kadar tunggal demi mengurangkan kos sara hidup rakyat serta membantu kelangsungan ekonomi negeri.
Ketua Penerangan SAPP, Chin Vui Kai, berkata langkah kerajaan memperkenalkan sistem harga dua peringkat melalui dasar subsidi bersasar – RM1.99 seliter untuk warganegara dan RM2.60 untuk bukan warganegara – dilihat tidak sesuai dengan realiti di Sabah.
“Jika kerajaan benar-benar ikhlas membantu menstabilkan ekonomi Sabah, harga RON95 perlu dikekalkan pada kadar runcit yang sama untuk semua pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chin menegaskan, alasan mengelak ketirisan subsidi yang menjadi asas pelaksanaan dasar baharu itu tidak wajar diguna pakai di Sabah kerana pergerakan rentas sempadan kenderaan asing adalah minima.
Menurutnya, aliran utama hanya melibatkan Brunei yang sememangnya menawarkan harga bahan api jauh lebih murah berbanding Malaysia, sekali gus menafikan wujudnya insentif ekonomi bagi mereka membeli minyak di Sabah.
Beliau berkata, pendekatan kadar tunggal lebih praktikal dan efisien, bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memudahkan urusan perniagaan stesen minyak tempatan.
“Sistem dua peringkat ini membebankan pengguna dan pengusaha stesen minyak kerana memerlukan tambahan kakitangan untuk mengesahkan identiti pelanggan, melambatkan perkhidmatan serta meningkatkan kos operasi,” jelasnya.
Chin menambah, harga rata RM1.99 seliter untuk semua pengguna di Sabah, sebagai negeri pengeluar minyak, adalah alternatif terbaik berbanding sistem semasa dan kadar harga rata RM2.05 sebelum ini.
“Harga tunggal ini akan memberi kesan langsung dalam mengurangkan kos sara hidup setiap rakyat Sabah. Ia juga membuktikan kerajaan Persekutuan benar-benar prihatin terhadap keperluan unik negeri ini,” katanya.
Beliau menegaskan, SAPP sentiasa memperjuangkan dasar yang selari dengan cabaran serta kepentingan khusus Sabah, dan kerajaan Persekutuan digesa mengambil pendekatan lebih pragmatik dan berkesan demi manfaat rakyat negeri ini.-pr/BNN





