KOTA KINABALU: Pasukan bina badan Sabah (SBBA) bersedia menggegarkan pentas Kejohanan Mr Malaysia Ke-54 yang berlangsung dari 25 hingga 29 September ini di Kuantan, Pahang.
Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA), Saudara Clarence Runggi, memaklumkan bahawa Sabah akan menghantar pasukan penuh dalam semua kategori kecuali kategori junior bagi kejohanan berprestij ini dengan sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sewaktu mengiringi kontinjen pasukan bina badan Sabah yang berlepas ke Kuantan.
“Sabah hadir dengan kekuatan hampir sepenuhnya kali ini. Atlet-atlet kita berada pada tahap persediaan terbaik dan kami yakin mampu mencipta kejayaan membanggakan,” katanya.
Turut serta mengiringi pasukan ialah pegawai-pegawai SBBA. Turut hadir memberi sokongan kepada pasukan Sabah ialah penaja pakaian rasmi kontinjen daripada Ice Gemilang, yang memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat pasukan.
Kejohanan Mr Malaysia menjadi medan pertemuan jaguh-jaguh bina badan dari seluruh negara dan dianggap platform tertinggi dalam arena bina badan tanah air.
Dengan semangat juang yang tinggi serta sokongan padu daripada pelbagai pihak, pasukan Sabah diharap mampu mencipta sejarah tersendiri dalam edisi kali ini.-pr/BNN





