KENINGAU: Balai Belia Kampung Bariawa Tengah kini menjadi mercu baharu kepada pembangunan komuniti apabila dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menerusi Program Prihatin Pemimpin Bersama Rakyat.
Kemudahan itu diyakini mampu menjadi pusat tumpuan generasi muda bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sosial, pendidikan dan kebudayaan, sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan masyarakat di kampung berkenaan.
Annuar berkata, balai berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai ruang beriadah, malah sebagai platform belia untuk meningkatkan jati diri dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.
“Inilah masanya untuk kita bersama-sama membina masa depan kampung, daerah, dan negeri dalam semangat kebersamaan. Pembangunan komuniti bukan sekadar projek, tetapi jambatan hati yang menyatukan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan erat dan sambutan padu daripada penduduk setempat, sambil menegaskan bahawa kejayaan pembangunan hanya mampu dicapai melalui kerjasama rapat antara rakyat dan pemimpin.
Program berkenaan sekali lagi menzahirkan komitmen Annuar yang konsisten menunaikan amanah melalui tindakan nyata, bukan sekadar janji.
Kehadirannya dalam program akar umbi itu turut menjadi bukti keseriusan kepimpinan Liawan untuk terus mengangkat aspirasi ‘Liawan Terurus, Liawan Maju’.-pr/BNN




