SEMPORNA: Semporna bukan sekadar daerah pesisir pantai biasa, sebaliknya adalah nadi dan pemangkin utama kepada transformasi ekonomi Sabah menerusi agenda Ekonomi Biru di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata potensi luar biasa yang dimiliki daerah itu mampu menjana limpahan ekonomi berskala besar sekiranya diurus secara strategik, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, tetapi juga kepada keseluruhan negeri.

“Dalam erti kata lain, kejayaan Semporna adalah kejayaan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena lawatan kerjanya ke daerah itu sempena Tinjauan Keselamatan Ke ESS Zone di Grand Ballroom, Hotel Seafest Semporna, pada Rabu.

Katanya, Semporna sudah pun mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras, khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.

Sebagai contoh, katanya, Pulau Sipadan berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang kini menjadi model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan mampan, sekali gus memastikan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti ekonomi.

“Di Taman Marin Tun Sakaran pula, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemeliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat. Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang kita mahu perluaskan kerana ia memastikan kekayaan alam Semporna dipulangkan semula kepada rakyatnya,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin bagi mewujudkan anjakan daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah.

Beliau berkata, antara fokus utama kerajaan termasuk peluasan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, pengenalan teknologi sangkar laut moden yang lebih efisien dan mesra alam, memberi sokongan padu kepada pengusaha rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan kualiti hasil bertaraf eksport.

“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pemprosesan hiliran hasil laut supaya rantaian nilai ekonomi dapat dikuasai secara menyeluruh,” katanya.

Hajiji berkata, bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan, kerajaan juga sedang merangka keperluan untuk menaik taraf infrastruktur sokongan yang kritikal di Semporna.

Katanya, ini termasuk pemodenan kemudahan jeti dan jaringan logistik, pembangunan rantaian bekalan sejuk (cold chain) yang komprehensif bagi menjamin kualiti hasil laut serta pembukaan akses lebih luas ke pasaran eksport antarabangsa serta penyediaan kemudahan pelancongan awam yang lebih teratur, selamat dan bertaraf dunia.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa agenda pembangunan besar di Semporna tidak akan menjadi realiti tanpa kepimpinan akar umbi yang kukuh serta komitmen tinggi terhadap prinsip kelestarian.

Katanya, kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan kepadatan dan pembangunan yang semakin pesat, sekali gus menuntut pendekatan pengurusan lebih berhemah.

“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lubuk emas ekonomi negeri. Kelestarian mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukan bebanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin setempat agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai ‘penjaga utama’ ekosistem dengan membantu penguatkuasaan peraturan, membanteras aktiviti tidak mampan, menggerakkan kempen kesedaran dalam komuniti dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.

Hajiji turut menegaskan bahawa setiap pembangunan di Semporna wajib berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga menjejaskan masa depan negeri.

Beliau berkata, Semporna berupaya muncul sebagai hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden serta pengeluar makanan laut premium utama negara, selain boleh menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru bagi Sabah.

Hajiji berkata, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa dengan komitmen padu semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, kepimpinan daerah, agensi pelaksana dan masyarakat setempat, Semporna mampu mencapai aspirasi berkenaan.

“Apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini adalah janji kita kepada generasi akan datang, agar mereka mewarisi lautan yang bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, tetapi juga subur dengan peluang ekonomi yang menjamin kesejahteraan hidup,” katanya.-pr/BNN