KENINGAU: Program Jelajah Sinar Kasih anjuran Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan apabila mendapat sambutan hangat masyarakat setempat di Kampung Binaong, semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert, yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.
Turut hadir, Ketua Sekretariat BMBR, Garrett Patrick; Ketua Kampung Binaong, Marukip Itah; serta Pengerusi JKKK Kampung Baginda Ulu, Sumiati Haji Yunus, yang bersama-sama memeriahkan penganjuran itu.
Program berkonsepkan kemasyarakatan itu diadakan bagi mengukuhkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat selain memberi manfaat menerusi pelbagai aktiviti berbentuk kebajikan, kesihatan, pendidikan kewangan dan kesedaran sosial.
Menurut penganjur, pendekatan inklusif yang digerakkan mampu mendekatkan pelbagai pihak dengan rakyat sekali gus menyuburkan semangat kebersamaan yang menjadi asas penting pembangunan komuniti di kawasan Bingkor.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan organisasi swasta yang memberikan sokongan, antaranya Jabatan Kebajikan Am Keningau, Robert T Company, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Maybank, Allianz Malaysia, Tabung Darah Hospital Keningau, ASNB Cawangan Keningau, Bataras Hypermarket Keningau, Tunetalk dan Maxis.
Tidak ketinggalan, penghargaan turut diberikan kepada penduduk Kampung Binaong serta kampung berhampiran yang hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program tersebut.
Dengan sokongan padu pelbagai pihak, Jelajah Sinar Kasih BMBR diyakini dapat diteruskan sebagai platform berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kesedaran sosial serta menyemai nilai perpaduan masyarakat di kawasan Bingkor khususnya.-pr/BNN





