KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menzahirkan komitmen kepedulian terhadap masyarakat dengan menyampaikan sumbangan kepada Kerasulan Belia Katolik (KBK) Katedral Saint Francis Xavier (KSFX) Keningau.

Sumbangan itu adalah sempena penganjuran Tamu Solidariti KSFX 2025 yang dijadual berlangsung di Dataran Dewan Kekitaan Rumah Retreat Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT).

Penyerahan disampaikan oleh Penyelia Masyarakat Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Heldahwati Juhasin, mewakili Annuar, dan diterima oleh wakil Pengerusi KBK, Zenoqyrus Kansi.

Menurut penganjur, sokongan daripada pemimpin tempatan seperti Annuar memberi suntikan semangat kepada belia untuk terus melaksanakan program berasaskan kebersamaan, perpaduan dan kebajikan masyarakat.

Sumbangan itu juga mencerminkan usaha berterusan pemimpin di kawasan Liawan dalam mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum.-pr/BNN