BINGKOR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, suasana politik di pedalaman semakin hangat.

Namun, di Bingkor, sebuah pesan sederhana daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sandapak, Rayner Adrian Eswar Munting, menjadi penyejuk suasana.

Rayner yang juga pengasas dan pentadbir kumpulan WhatsApp Bingkor Info/Iklan dengan 523 ahli itu mengingatkan masyarakat supaya mengekalkan keharmonian meskipun berbeza pandangan politik.

“Kita semua ada pandangan sendiri, ada parti sendiri. Tapi jangan lupa — kita di Bingkor ni, kita-kita juga bah! Politik² juga, tapi jangan sampai lupa mengawal diri,” katanya dalam pesanan ringkas yang mendapat reaksi positif ahli kumpulan.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 9 Ogos 2024 itu pada asalnya berfungsi sebagai medium perkongsian maklumat sahih, promosi hasil pertanian dan ruang komunikasi penduduk. Namun menjelang PRN, ia turut menjadi wadah peringatan tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Kumpulan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta beberapa pegawai kerajaan, menjadikannya jambatan penghubung rakyat dengan pemimpin.

Dalam ruang digital yang kadang kala panas dengan perdebatan, Rayner bijak menyeimbangkan dengan seloroh tempatan seperti “Main kau langu” yang membawa tawa kecil, sekali gus mengekalkan suasana mesra.

Menurutnya, politik silih berganti tetapi semangat kekitaan di Bingkor tidak boleh terhakis.

“Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan berbeza hati. Akhirnya bila kita balik kampung, kita tetap jumpa orang yang sama, senyum yang sama, dan tanah yang sama — tanah Bingkor,” katanya.

Pesan itu menjadi peringatan penting bahawa walaupun pilihan raya semakin hampir, nilai persaudaraan dan rasa hormat harus kekal sebagai asas utama masyarakat Bingkor.-pr/BNN