KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Ketua Menteri Sabah berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri pada pagi ini untuk menasihatkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan, serta memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk menggunakan hak mereka menentukan kepimpinan baharu negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang tempoh lima tahun lalu sejak menerajui pentadbiran negeri pada September 2020, beliau berkata kerajaan telah berusaha membawa perubahan dan pertumbuhan bermakna melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bersifat holistik dan inklusif.
Beliau menjelaskan, pelan itu berteraskan tiga tonggak utama – Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau — yang telah menghasilkan kemajuan nyata bagi negeri Sabah.
“Kerajaan mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi, terutamanya berkaitan bekalan air, elektrik dan infrastruktur kritikal. Beberapa projek besar sedang dan telah dilaksanakan bagi menyelesaikan cabaran ini,” katanya.
Selain itu, ekonomi negeri turut diperkukuh dengan peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan, serta peluasan bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu dan menggunakan peluang pilihan raya akan datang dengan bijaksana.
“Kerja kita belum selesai. Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu.
Semoga keputusan pilihan raya kelak mengukuhkan suara rakyat, kestabilan serta kemajuan negeri tercinta ini,” katanya.-BNN





