KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert, menegaskan bahawa sokongan padu rakyat amat penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirintis Kerajaan GRS demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang membawa impak langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara inisiatif itu termasuk Pelan Pembangunan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang menjadi pemacu utama peningkatan infrastruktur, ekonomi dan sosial di kawasan tersebut.
“GRS sentiasa mendengar suara rakyat. Setiap keperluan seperti pembangunan jalan raya, kemudahan asas, peluang ekonomi dan sokongan kepada generasi muda akan terus dipertingkat. Namun, semua ini memerlukan sokongan padu rakyat agar agenda pembangunan dapat diteruskan,” katanya.
Rafie berkata demikian pada program pertemuan mesra bersama penduduk Kampung Masjid Kirokot, Apin-Apin, yang mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat setempat yang terus menaruh keyakinan dan memberi sokongan kepada GRS dalam usaha membangunkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.
Rafie juga menyeru golongan muda agar memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti serta menjadi penyumbang kepada kestabilan politik negeri, yang menjadi asas utama kepada kemajuan berterusan Sabah.
“Kita mahu memastikan masa depan anak-anak kita lebih baik. Justeru, kestabilan politik amat penting bagi menjamin dasar-dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan,” ujarnya.
Program itu turut menjadi wadah interaksi dua hala antara pemimpin dan rakyat, dengan penduduk diberi ruang menyuarakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Kampung Masjid Kirokot dan kawasan sekitarnya.-pr/BNN





