KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Padang Tembak atas sokongan padu dan sambutan luar biasa terhadap kepimpinannya sepanjang tempoh perkhidmatan.
Dalam program santai mesra bersama komuniti kampung itu baru-baru ini, Annuar berkata kepercayaan yang kini terjalin kukuh antara beliau dan rakyat bukan terhasil daripada janji pilihan raya, tetapi hasil kerja berterusan dan kesungguhan turun padang mendengar suara masyarakat.
“Sokongan yang hadir bukan datang daripada janji, tetapi daripada apa yang tuan-tuan dan puan-puan sendiri lihat dan rasakan sepanjang kita bekerja bersama,” katanya.
Beliau mengimbas kembali situasi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu apabila Padang Tembak dianggap kawasan yang sukar didekati. Namun kini, katanya, hubungan antara pemimpin dan rakyat semakin erat hasil kejujuran dan keberanian melaksanakan perubahan nyata di lapangan.
“Kerja kitalah yang menjadi cerita kita, dan Padang Tembak sudah menjadi saksi kepada perubahan itu,” ujarnya.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah Ke-17, Annuar menegaskan perjuangan politiknya tidak berasaskan retorik baharu, sebaliknya kepada rekod khidmat yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat.
“Terima kasih atas kepercayaan ini. Marilah kita teruskan langkah dengan cara yang baik, bersih dan ikhlas — kita buat sama-sama,” katanya penuh harapan.-pr/BNN





