PPK Tuaran, PPN Sabah mahu NAFAS kekalkan bayar 10% dividend atas dana peladang kebangsaan

0
575
Pengerusi PPK Tuaran, Puan Sylvia Belinggi

TUARAN: Pertubuhan Peladang  Kawasan (PPK) Tuaran dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyokong saranan PPN Sarawak agar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengekalkan membayar dividen 10% bagi pelaburan dalam Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun 2018.

Pengerusi PPK Tuaran, Puan Sylvia Belinggi berkata, NAFAS perlu mengekalkan agihan dividen 2018 sebanyak 10% untuk DPK seperti yang dijanjikan.

“DPK sejak ditubuhkan pada 2013 sehingga 2017, setiap tahun para pelabur yang terdiri daripada ahli-ahli peladang seluruh negara menerima agihan dividen sebanyak 10% untuk 5 tahun berturut-turut.

“Untuk dividen 2018, ahli-ahli peladang yang telah melabur duit mereka dalam DPK khususnya dari PPN Sabah dan PPK Tuaran khasnya mengharapkan agihan sebanyak 10% dividen”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sylvia mengulas kenyataan Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran yang meminta NAFAS meneruskan agihan dividen 10% yang telah diagihkan selama 5 tahun berturut-turut untuk tahun 2018.

Beliau berkata, NAFAS yang telah digantung Perlembagaannya oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Jun 2018, telah ditakbir oleh Ketua Pentadbir yang dilantik dari pegawai LPP. Sementara semua  pegawai  yang membantu mengurus tadbir NAFAS dalam waktu penggantungan terdiri dari pegawai-pegawai LPP.

“Dengan penggantungan tersebut, adalah dikhuatiri ia akan menjejaskan semua urusniaga dan keuntungan NAFAS bagi tahun kewangan 2018. Selanjutnya akan menjejaskan kadar dividen yang harus diagihkan kepada pelabur DPK”, katanya

Beliau meminta NAFAS, dibawah tadbiran Puan Razana binti  Hj Ghazali yang dilantik terus oleh Ketua Pengarah LPP sebagai Ketua Pentadbir, supaya bertanggungjawab untuk mengekalkan dividen sebanyak 10% diatas pelaburan DPK seperti sebelum ini.

Sylvia berkata, ahli-ahli peladang seluruh negara, termasuk dari PPK Tuaran seramai 130 orang melibatkan jumlah pelaburan kira-kira RM1.2 juta bimbang NAFAS tidak mampu mengekalkan pengagihan dividen sebanyak 10%.

Beliau yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah berkata, ahli-ahli peladang negeri ini berhak mengetahui prestasi perniagaan dan keuntungan yang diperolehi oleh NAFAS dan juga DPK setelah  penggantungan Perlembagaan NAFAS oleh  LPP selaku pendaftar.

Katanya, tindakan penggantungan perlembgaan NAFAS  mungkin menjejaskan perolehan dan keuntungan bagi tahun lalu.

Sylvia menegaskan, mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada NAFAS, akibat penggantungan itu, maka Ketua Pengarah LPP, Ketua Tadbir NAFAS dan Pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.

Katanya, ahli PPK Tuaran merupakan pelabur terbesar dari Sabah untuk DPK kerana jaminan pulangan pelaburan sebanyak 10% dividen setiap tahun.

DPK ditubuhkan dengan tujuan untuk mengwujudkan saluran pengurusan dana yang disatukan bagi rangkaian gerakan Pertubuhan Peladang.

DPK berkonsepkan menerima dana sebagai deposit dan memberi perkhidmatan kemudahan pembiayaan rangkaian Pertubuhan Peladang. Operasi yang dijalankan oleh DPK berlandaskan syariah menjadi asas produk DPK.

Aktiviti pekhidmatan yang dijalankan oleh DPK terdiri daripada dua bahagian iaitu Sumber Dana dan Penggunaan Dana yang melibatkan Pelaburan, Simpanan, Pembiayaan. Seperti yang termaktub di dalam Kaedah DPK, DPK boleh menerima dana daripada Pelaburan, Simpanan, Sumbangan Kerajaan, Pinjaman Luar dan Lain-lain Pemberian.

Produk-produk DPK termasuklah:

i. Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP)
ii. Skim Simpanan Biasa
iii. Skim Pelaburan Am
iv. Pembiayaan Berjangka
v. Sewa Beli Jentera
vi. Kemudahan Kredit Berputar
vii. Projek Usahasama / Modal Teroka. –Oleh LSK/BNN