PENAMPANG: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengekalkan pendirian agar parti itu harus menggunakan logo parti sendiri dalam pilihanraya umum Sabah sesuai dengan perjuangan Sabah First.

Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic menyatakan parti itu juga harus bersedia disingkir daripada Pakatan Harapan kerana pendirian berprinsip yang dibuat oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkaitan dengan kesediaan meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan jika Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan kehakiman hak 40 peratus Sabah.

“Perlembagaan Parti UPKO menyatakan antara matlamat parti adalah memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Matlamat parti ini berdasarkan kepada semangat perjuangan Sabah First yang ditonjolkan oleh Datuk Ewon sepanjang beliau berada dalam Kabinet Persekutuan dan sepanjang memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Datuk Ewon telah menyatakan prinsipnya iaitu tidak dapat memberi sokongan kepada keputusan Kerajaan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berhubung hak 40 peratus Sabah ke atas hasil persekutuan yang dikutip di negeri ini.

“Jadi, penggunaan logo parti UPKO oleh calon-calon UPKO sangat wajar dan menyerlahkan semangat perjuangan Sabah First yang menjadi asas penubuhan parti.

“Saya percaya UPKO sudah bersedia untuk disingkir daripada PH kerana pendirian parti ini,” katanya.

Billy turut menyatakan keputusan mesyuarat agung Pakatan Harapan (PH) Sabah yang memilih Datuk Ewon sebagai Pengerusi tidak pernah diselesaikan oleh Pengerusi dan Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.

“Malah PKR Sabah telah memperkecilkan Datuk Ewon dan UPKO. Menjelang pilihanraya umum Sabah, barulah mereka mahu mengiktiraf Datuk Ewon sebagai Pengerusi. Malah perundingan kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya melibatkan pemimpin tertinggi PKR Sabah.

“Saya percaya sudah tiba masanya UPKO berdiri di kaki sendiri dan mendengar denyutan nadi rakyat Sabah.

“Pemuda UPKO Penampang mendesak parti untuk kekal menggunakan logo dan bendera parti sendiri dalam pilihanraya umum Sabah ini dan bersedia disingkir daripada PH Sabah,” katanya.-pr/BNN