KENINGAU: Perjumpaan bersama komuniti Kampung Buang Sayang semalam sekali lagi membuktikan keyakinan penduduk Bingkor terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai teras kepada kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Dalam sesi ramah mesra bersama Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Rafie Robert, penduduk kampung menyatakan sokongan padu kepada GRS serta tekad untuk terus bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Wakil penduduk, Petrus Justine, berkata sokongan itu dizahirkan demi memastikan agenda pembangunan yang telah dirintis di bawah pentadbiran GRS dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Ramai rakyat luar bandar sudah menikmati hasil pembangunan yang dibawa di bawah kepimpinan GRS. Kami mahu kesinambungan ini – bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Agenda Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) telah membawa pelbagai perubahan positif, termasuk peningkatan prasarana asas, peluang ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Inilah masa untuk kita terus bersama dan mengukuhkan kesepakatan demi memastikan Bingkor terus maju,” ujarnya.
Sementara itu, Rafie merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Kampung Buang Sayang atas sambutan mesra dan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan sepanjang pertemuan tersebut.
“Terima kasih atas kepercayaan luar biasa yang diberikan. Pemuda GRS akan terus memperjuangkan setiap suara dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Rafie turut menegaskan komitmen Pemuda GRS untuk terus berada di lapangan bersama masyarakat serta memastikan pembangunan yang lebih terancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Bersama kita teruskan perjuangan di bawah panji GRS demi masa depan Bingkor dan Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” tegasnya.-pr/BNN





