Pemuda UMNO hormati keputusan Anifah meninggalkan parti

0
123
Abdul Aziz Julkarnain
KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah menghormati keputusan Datuk Anifah Aman  meninggalkan UMNO atas alasannya tersendiri.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ketua Pemuda UMNO Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata Anifah telah menyatakan berjanji semasa PRU14 lepas untuk meletakkan jawatan di dalam parti sekiranya UMNO dan BN gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
Walaubagaimanapun, adalah tidak wajar jika UMNO dan BN dipersalahkan tanpa ada alasan yang kukuh, katanya.
“Punca kegagalan yang dimaksudkan haruslah dinyatakan dgn jelas kerana selama ini UMNO dibawah Datuk Seri Najib Razak dikatakan bersikap ‘accommodative’ dan prihatin terhadap hak-hak negeri Sabah,” kata beliau
“Umum mengetahui bahawa perjuangan untuk menuntut hak-hak Sabah sudah bermula awal sejak dari tahun 1976 lagi terutamanya berkaitan isu minyak, pulangan 40% pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan persekutuan kepada negeri dan status wilayah yang diturunkan menjadi hanya salah satu negeri di Malaysia.”
Perjuangan ini bukan baru dan ianya menuntut keiltizaman tinggi di kalangan pemimpin-pemimpin Sabah pada masa itu untuk terus bersuara tanpa rasa takut dan gentar, katanya.
“Ada pemimpin yang ditangkap dan disumbat ke penjara hanya kerana ingin bersuara tentang hak-hak Sabah.”
“Hanyalah pada tahun 2016, rakyat Sabah benar-benar berpeluang untuk mendapatkan kembali hak-hak yang diperjuangkan selama ini semenjak dari 1976 apabila kerajaan persekutuan komited untuk melakukannya selepas didesak dan diasak oleh pemimpin-pemimpin UMNO Sabah pada masa itu yang mana akhirnya satu jawatankuasa teknikal kabinet diwujudkan untuk memulihkan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.”
Ini adalah contoh jasa besar UMNO Sabah sejak berkuasa di negeri ini yang benar-benar serius dan komited untuk mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia1963, Perlembagaan Persekutuan dan laporan bertulis lain seperti laporan Cobbold.
Oleh itu, UMNO dan Barisan Nasional tidak wajar dijadikan ‘punching bag’ apatah lagi tatkala parti sedang diuji dengan cabaran hebat untuk terus bangkit dan relevan di dalam kerangka politik tempatan dan nasional, kata beliau.-pr/BNN