KOTA KINABALU: Lebih dari 300 orang peserta terdiri daripada 250 orang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), agensi kerajaan, NGO dan pihak industri menghadiri Seminar Kenegaraan:
Dari Kampus ke Kepimpinan Negara yang dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Malaysia dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Universiti Malaysia Sabah, bertempat di Dewan Resital di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Penasihat Akademi Kepimpinan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Hj Nasarah, yang menegaskan peranan universiti dalam membentuk jati diri nasional dan asas kepimpinan berwibawa dalam kalangan mahasiswa.
Seminar ini menampilkan Dr Hajah Fatimah Sabrina Moahmmad, Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Professional Malaysia, bersama panel jemputan lain.
Dalam perkongsian beliau, Dr Sabrina yang mesra dengan panggilan Kak Sab menekankan pentingnya mengangkat suara wanita Sabah dan komuniti OKU dalam kerangka kepimpinan nasional.
“Wanita Sabah mempunyai kekuatan tersendiri, berjiwa kental, akrab dengan realiti masyarakat dan kaya dengan empati. Wanita dan OKU bukan sekadar penerima dasar, tetapi adalah pembawa suara rakyat yang wajar berada di meja pembuat keputusan,” tegasnya.
Beliau turut merujuk sasaran nasional untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% wanita berada dalam kedudukan pengurusan dan lembaga pengarah di sektor awam dan swasta.
Setakat ini, syarikat tersenarai utama (Top 100) telah mencapai purata kira-kira 32.2% wanita dalam lembaga pengarah, namun dalam bidang politik, penyertaan masih rendah dengan hanya sekitar 13.6% wakil wanita di Dewan Rakyat.
“Data ini jelas menunjukkan wanita mampu memimpin. Yang diperlukan bukan keistimewaan, tetapi ruang yang adil dan peluang yang setara,” ujarnya.
Beliau menyeru mahasiswa untuk membina asas kepimpinan berteraskan:
• Ilmu – untuk berfikir dengan matang
• Empati – untuk memahami manusia yang dipimpin
• Integriti – untuk kekal teguh ketika diamanahkan kuasa
“Graduan membawa kelayakan. Pemimpin membawa nilai. Dan nilai itulah yang menentukan arah dan maruah negara,” katanya.
Seminar ini dianggap sebagai platform strategik dalam melahirkan pemimpin muda berwawasan, termasuk wanita muda Sabah dan komuniti OKU, bagi mengisi kepimpinan negara pada masa hadapan yang mana ianya bermula dari Universiti.-pr/BNN





