KENINGAU: Kehadiran Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Encik Rafie Robert, pada majlis santai malam bersama penduduk Blok Seri Teratai, Kampung Kota Ayangan, menerima sambutan hangat dan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan GRS, yang dilihat konsisten memperjuangkan agenda pembangunan di peringkat akar umbi.
Wakil penduduk, Encik Lamsin Angkirau, berkata GRS kekal sebagai pilihan terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan menjamin kestabilan politik di kawasan Bingkor.
“Kami mahukan kesinambungan pembangunan. GRS sudah membuktikan usaha mereka, dan kita ingin ia diteruskan demi manfaat seluruh rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, Encik Rafie Robert menjelaskan situasi politik semasa di Sabah serta menekankan pentingnya rakyat terus menyokong GRS bagi memastikan pelan pembangunan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dan Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
“GRS bukan sekadar parti, tetapi gerakan rakyat yang membawa pembangunan berterusan. Kita sudah melihat hasilnya, dan kesinambungan ini mesti dijaga bersama,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Blok Seri Teratai atas sambutan mesra serta komitmen mereka untuk terus bersama GRS dalam memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor pada Pilihan Raya Umum akan datang.-pr/BNN





