Pemegang saham tuntut jawatankuasa pentadbir jawab kerugian NAFAS

0
653
Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad

LABUAN: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dari Borneo menuntut Jawatankuasa Pentadbir Sementara menjawab kerugian yang dialami oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) semasa dibawah pentadbiran mereka.

PPN dari Borneo terdiri daripada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan antara PPN dari seluruh negara yang merupakan pemilik dan pemegang saham NAFAS.

Pengerusi PPN Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad yang mewakili ketiga-tiga PPN berkata, pada Jun 2018, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP), Haji Hamzah Bahari yang juga Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ketika itu telah menggantung perlembagaan NAFAS dan melantik orang-orangnyan bagi mentadbir NAFAS.

Mereka ialah;
1. Razana binti Ghazali
2. Dzulfadli bin Johan
3. Muhammad Azzrinie bin Shafie
4. Arzilinna binti Ahmad Kamal
5. Sophian Niza bin Ismail
6. Farhana binti Sakiron
7. Mohd Hafiz bin Aziz
8. Mohd Redzuan bin Kassim.

Katanya, penggantungan itu dibuat kononnya kerana terdapat permasalahan yang serius dalam tadbir-urus NAFAS ketika itu yang masih tidak dibuktikan sehingga kini.

“Malangnya, semasa pentadbiran Jawatankuasa Pentadbir Sementara yang sepatutnya bertindak sebagai ‘caretaker’ semasa penyiasatan dalam tempoh penggantungan itu, mereka telah bertindak melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh akta, mengambil-alih kuasa Ahli Jemaah Pengarah dan melaksanakan tindakan yang telah mendatangkan kemudaratan kepada pengurusan dan kewangan NAFAS.

“Mereka juga didapati menakut-nakutkan pegawai dan kakitangan NAFAS dengan menggunakan perkataan yang tidak sewajarnya. Sepatutnya mereka menjalankan tugas dengan penuh berhemah dan didikasi kerana bertugas di luar LPP.

“Mereka sepatutnya sedar NAFAS (Pertubuhan Peladang) bukan milik LPP. NAFAS adalah milik kami, pemegang SAHAM. Justeru mereka datang ke tempat orang (NAFAS) sepatutnya penuh tertib. Bukan datang dan bertugas di NAFAS seperti “samseng”. Sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai berkenaan begitu teruk dan sama seperti yang ditunjukkan oleh boss (atasan) mereka (Hamzah).

“Akibat itu, NAFAS yang diperolehi keuntungan beratus juta setiap tahun telah jatuh merudum dengan teramat teruk”, katanya dalam kenyataan satu hari ini.

Yussof berkata, tindakan mereka memanggil Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tanpa punca kuasa juga telah menyebabkan PPN seluruh negara turut sama terbabit menanggung kerugian beratus ribu ringgit.

Sehubungan itu katanya, PPN selaku pemegang saham mahu Jawatankuasa Pentadbir hadir semasa MAT NAFAS Tahun 2018 yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat, bagi menjawab segala tindakan mereka yang memudaratkan PP ini.

“PPN juga mahu ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir dipertanggungjawabkan atas segala kerugian yang telah dialami oleh NAFAS dan PPN.

“Kami mahu setiap sen wang kami yang hilang itu dikembalikan oleh ahli Jawatankuasa Pentadbir, termasuk setiap mereka yang didapati bertanggungjawab memusnahkan NAFAS.

“Sebagai pegawai kerajaan yang menjawat jawatan kanan, mereka harus bijak dan sedar bahawa perlantikan mereka semasa penggantungan pelembagaan NAFAS itu hanyalah bagi menjaga kepentingan NAFAS semasa penyiasatan dijalankan.

“Sebaliknya bukan bertindak dan membuat keputusan sesuka hati dan mengikut arahan Pendaftar PP sehingga menyebabkan NAFAS mengalami kerugian yang tidak sepatutnya berlaku.

“Sekarang ahli-ahli peladang yang terpaksa menanggung kerugian. Jawatankuasa Pentadbir sementara perlu dipersalahkan dan bertanggungjawab terhadap semua kesilapan tindakan mereka”, tegasnya.

Menurutnya, dari satu sudut Hamzah tidak Ikhlas dengan Razana dan Timbalan Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim, walaupun kedua-dua mereka adalah kawan baik beliau.

“Cuba fikirkan, kenapa Razana dibagi dua peranan dalam satu-satu masa? Pertama Razana adalah Ketua Pentadbir NAFAS bersama 7 orang kawannya yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pentadbir (iaitu lebih kurang sama peranan seperti Ahli Jemaah Pengarah). Dan pada masa yang sama mereka juga sebagai pengurus besar dan pengurus-pengurus bahagian. (dua dalam satu).

“Jawatankuasa ini telah meluluskan sesuatu seperti peranan AJP NAFAS yang sebenar dan pada masa yang sama mereka juga memegang jawatan dalam pengurusan (orang yang melaksanakan kerja yang telah diluluskan oleh mereka sendiri).

“Sementara Azulita pula yang menjaga sayap pembangunan dalam LPP. Kenapa pula kerja-kerja Timbalan KP Operasi yang beliau buat sehingga mendatangkan risiko pada dirinya sendiri. Sepatutnya Hamzah menjaga mereka dan jangan hingga kedua-dua mereka melakukan kesilapan dan kesalahan yang dikecam oleh pemimpin dan pemegang saham NAFAS. Jelas sekali Hamzah telah mempergunakan mereka untuk menghancurkan NAFAS demi kepentingan dirinya”, tegasnya.

Yussof berkata, Hamzah jangan terlalu awal gembira kerana telah berjaya menganiaya NAFAS dan staffnya.

Beliau berkata, Hamzah harus ingat ketika masih sebagai KP LPP, sudah tentu beliau dikelilingi oleh ramai kawan (pegawai LPP) yang memuji dan membodeknya.

“Mulai dari esok (setelah bersara wajib) pegawai LPP yang selalu mengelilingi Hamzah akan mulai berjauhan dan akan ada dikalangan mereka yang akan mulai mengkritik beliau.

“Ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Hukum karma akan berlaku. Perbuatan kita akan dikenang sehingga selama-lamanya”, tegas beliau.-pr/BNN