Pemimpin peladang seluruh Negara mahu TKP (O) dilantik pemangku KP LPP

0
Datuk Sylvester Entri Muran

KUCHING: Pemimpin Pertubuhan Peladang (PP) seluruh negara mahu Kerajaan melantik Timbalan Ketua Pengarah (TKP) (Operasi)

Lembaga  Pertubuhan Peladang (LPP) memangku jawatan Ketua Pengarah (KP) berikutan persaraan wajib Tuan Haji Hamzah Bahari mulai hari ini (3 Mac).

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, sementara menunggu Kerajaan menempatkan KP LPP yang baharu, pemimpin peladang menggesa agar Encik Jumaat Lakuba dilantik memangku jawatan KP.

Katanya, pemimpin peladang juga tidak bersetuju sekiranya Puan Azulita Salim yang kini merupakan TKP (Pembangunan) dilantik sebagai pemangku KP.

“Ini kerana Azulita terpalit dengan banyak isu. Beliau didakwa bersama-sama Hamzah  menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dalam kes penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sehingga menyebabkan pertubuhan itu mengalami kerugian berjuta ringgit”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sylvester berkata, Jumaat merupakan TKP yang tidak terpalit dengan isu dan konflik diantara LPP dan NAFAS.

“Jumaat adalah calon yang paling sesuai menjalankan tugas sebagai pemangku KP LPP sementara menunggu kerajaan menempatkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai KP LPP yang baharu.

“Pemimpin peladang seluruh negara amat berharap agar dalam tempoh ketiadaan KP LPP, pemangku KP akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen dan bukan seperti yang dilakukan oleh Hamzah”, tegasnya.

Sylvester juga berharap masalah Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) NAFAS ke 45 tahun 2018 yang telah ditangguhkan sejak Disember 2018 berikutan Pendaftar PP dan Jawatankuasa Pentadbir Sementara tiada punca kuasa dapat diselesaikan dengan segera.

Sylvester juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam melihat LPP dimana Hamzah telah menempatkan orang-orangnya menjadi Pengarah Negeri/ Pengarah Ibu Pejabat dan menaikkan pangkat serta memberi tempat (jawatan) yang tidak sepatutnya,  agar mereka ini dikembalikan ke jawatan sepatutnya.

“Sementara mana-mana pegawai LPP yang sepatutnya dinaikkan pangkat tetapi telah diketepikan oleh Hamzah wajar
dilantik menjadi Pengarah atau memegang jawatan yang sepatutnya.

“Ini kerana integriti Hamzah dan Azulita boleh dipersoalkan. Semasa mereka  berdua berkhidmat di Permodalan Peladang Berhad (PPB) telah menyebabkan PPB jatuh, sementara mereka pula pergi melanjutkan pelajaran walaupun tanpa kebenaran. Dari awal lagi mereka telah menunjukkan teladan yang tidak baik.

“Juga difahamkan pegawai penyiasat yang dilantik oleh Hamzah telah memalsukan maklumat dan dokumen kepada pihak berkuasa. Jika ini benar berlaku  maka kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pegawai berkenaan”, tegasnya. -pr/BNN