KENINGAU: Di tengah-tengah suhu politik yang semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, kehadiran luar biasa warga Kampung Toboh Baru menjadi bukti jelas bahawa semangat kebersamaan dan keyakinan terhadap kepimpinan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, masih utuh dan semakin membara.

Perhimpunan itu bukan sekadar pertemuan politik, sebaliknya mencerminkan denyut nadi rakyat yang mahu perjuangan diteruskan — perjuangan yang berpaksikan keikhlasan, khidmat dan pembangunan berterusan untuk Liawan.

“Terima kasih warga Toboh Baru. Kehadiran ini bukan sekadar angka, tetapi tanda kepercayaan. Kita akan terus berkhidmat, kita akan terus bekerja. Jika mandat diberi sekali lagi, Liawan akan terus melangkah ke hadapan,” kata Annuar dalam ucapannya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Menurutnya, perjuangan di Liawan bukan tentang slogan atau janji kosong, sebaliknya berakar pada tindakan nyata yang memberi kesan langsung kepada rakyat — daripada menaik taraf jalan kampung, membantu anak muda memperkukuh ekonomi, menyantuni rumah ibadat hingga menyalurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau menegaskan, keutamaan kepimpinan yang beliau bawa adalah memastikan setiap lapisan masyarakat di Liawan merasai nikmat pembangunan secara adil dan menyeluruh.

Suasana di Toboh Baru pada hari itu penuh semangat, dengan kehadiran penduduk pelbagai peringkat usia yang melaungkan sokongan agar kesinambungan kepimpinan Annuar diteruskan.

Bagi mereka, PRU Sabah bukan sekadar pilihan, tetapi penentuan masa depan Liawan — dan suara yang bergema di Toboh Baru cukup jelas: “Kita jalan terus.”-pr/BNN