KOTA KINABALU: Seluruh jentera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru agar menanam mentaliti menang sebagai asas perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17, selain referendum penting bagi menentukan hala tuju rakyat Sabah.
Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah berkata, selepas proses penamaan calon selesai dengan semua calon GRS berjaya melepasi tapisan, kini fokus utama adalah memperkemaskan jentera dan bergerak dalam keadaan paling bersiap siaga.
Menurut Aksyah, misi utama PRU kali ini bukan sekadar memenangi kerusi, tetapi menzahirkan pendirian rakyat Sabah tentang masa depan negeri, selaras dengan seruan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Inilah peluang besar rakyat Sabah untuk membuktikan kebijaksanaan menentukan masa depan sendiri. Seperti yang sering diingatkan DSP Hajiji, jangan lepaskan peluang emas ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak kembali terperangkap dengan politik bersifat sentrik, kedaerahan dan perkauman, atau kekal dilabel sebagai ‘Deposit Tetap’ yang mudah dimomokkan pihak tertentu.
“Jika rakyat mahu dilihat sebagai bijak, bermaruah dan berjiwa Sabahan, tidak ada pilihan lain selain mengekalkan GRS sebagai teraju utama kerajaan Sabah,” katanya.
Aksyah berkata, kemenangan besar GRS akan memperkukuh penghormatan terhadap Sabah, selain menzahirkan bahawa rakyat negeri ini tegas mempertahankan acuan politik tempatan sebagai asas pemerintahan.
“Hakikatnya, jika rakyat memilih GRS, penilaian non-Sabahan terhadap kita lebih tinggi dan diterjemahkan dalam bentuk penghormatan. Inilah mentaliti yang mesti ada pada setiap Sabahan — maruah dan jatidiri,” katanya.
Beliau menambah, wawasan politik dan pembangunan yang digagaskan melalui Halatuju SMJ 2.0 oleh Ketua Menteri siap untuk dilaksanakan demi manfaat rakyat di seluruh negeri.
Aksyah menegaskan bahawa mentaliti menang hanya dapat dibentuk melalui barisan jentera yang kukuh, rapat dan mendahulukan misi parti.
“Setiap calon dan jentera mesti bergerak seperti seorang pemenang. Pastikan DUN anda menjadi penyumbang kepada kemenangan GRS,” katanya sambil menyeru semua pihak meneruskan kempen dengan penuh disiplin dan semangat.
“Selamat berkempen dan berjuang!” ujar beliau.





