KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkenalkan satu enakmen baharu bagi memudahkan urusan jual beli dan pengurusan hartanah, khususnya projek yang melibatkan pemaju dan pemilik seperti pembangunan 1Borneo Hypermall, jika diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi sesuai, justeru perlu digubal semula bagi mempercepatkan urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada USIA oleh Jabatan Tanah dan Ukur di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Menurut Hajiji, enakmen baharu itu akan menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses jual beli dan pertukaran hak milik hartanah.

“Untuk urusan-urusan yang bersangkutan, kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi berapa sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun. Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah, hartanah ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mencapai majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menegaskan, keyakinan itu berasaskan kejayaan nyata. Kerajaan GRS sepanjang lima tahun memerintah.

“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah,” katanya sambil menambah bahawa pelbagai sektor ekonomi telah dipertingkatkan selain program kebajikan meluas untuk membantu rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah. “Dalam masa hampir lima tahun, kita belanja RM1.3 bilion. Biasiswa pun kita tingkatkan, macam-macam lagi”, katanya.

Menurut beliau, kejayaan Kerajaan termasuk termeterainya perjanjian dengan PETRONAS, peningkatan hasil negeri daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain rizab negeri yang bertambah daripada sekitar RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion.

“Ini satu kejayaan dan rakyat mesti melihat ini,” katanya sambil menyatakan hampir 100,000 rakyat dibawah E-Kasih menerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) bernilai RM300 sebulan termasuk bantuan perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengulas serangan pembangkang, Hajiji berkata, mereka pernah memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan persekutuan, namun tidak menunjukkan pencapaian yang setara.

Justeru beliau berharap rakyat membuat pilihan tepat pada pilihan raya nanti. “Kita sudah berada di landasan yang betul. Saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan tetapi lihat bukti prestasi nyata pencapaian kerajaan GRS dalam lima tahun ini.”

Menurutnya, Kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk menyelesaikan masalah air yang menurutnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu yang menamatkan konsesi air

.“Kita kena bayar RM315 juta. Kalau tidak ada pembatalan ini, RM315 juta itu kita boleh guna untuk buat jalan raya kampung, jambatan kampung dan sebagainya”, tegas beliau.

Hajiji turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan GRS terlibat dalam rasuah dan menyifatkannya sebagai fitnah bermotif politik. “Apa yang rasuah? Kita potong ataupun batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral… Itu (dakwaan) semua mempunyai motif politik yang jahat,” katanya.

“Sebab itu keluarlah video-video itu. Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini?” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis penyerahan geran itu, Hajiji menzahirkan kesyukuran kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari yang ditunggu-tunggu pemilik dan pembeli kedai rumah di 1Borneo akhirnya dapat direalisasikan.

Beliau berkata, penyerahan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan GRS mempercepatkan pengeluaran strata title, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan.

“Yang jelas bahawa Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melakukan yang terbaik untuk membantu USIA dan juga pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo,” katanya.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah, termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIA dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur atas kejayaan menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo.

Semenjak diwujudkan, 1Borneo Hypermall telah menjadi antara mercu tanda komersial paling menonjol di Sabah, malah merupakan hypermall terbesar bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh pulau Borneo.

Dengan empat blok kediaman merangkumi 910 geran strata, 21 geran bagi 2,300 tempat letak kereta berbumbung, dan 1,043 geran komersial, termasuk empat buah hotel dengan mempunyai kira-kira 929 bilik.-pr/BNN