KUDAT: Rakyat diingatkan agar tidak memilih parti yang telah gagal untuk memerintah di negeri ini, kata Ketua Menteri/Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.Beliau berkata, sebaliknya pilihlah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menunjukkan prestasi baik dan keupayaannya memerintah Sabah selama lima tahun ini.
“Kerajaan GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program serta meningkatkan pembangunan ekonomi termasuklah kutipan hasil dan rizab negeri ini.
“Ini adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan oleh rakyat. Kita mahu membawa Sabah ke satu tahap lagi selepas pilihan raya ini agar setanding dengan negeri lain di negara ini.
“Kita bukan bercakap kosong seperti pembangkang yang suka membuat fitnah dan macam-macam retorik tetapi sebenarnya kosong,” katanya pada majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Banggi dan Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus Kudat, di sini pada Selasa.
Yang turut hadir calon GRS DUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin dan calon GRS DUN Tanjong Kapor, Datuk Chong Chen Bin.
Sehubungan itu, Hajiji yang juga calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman meminta rakyat di kawasan DUN Banggi dan DUN Tanjong Kapor agar memilih calon GRS untuk kawasan itu sebagai wakil rakyat mereka dalam pilihan raya ini.
“Saya tertarik dengan kedua-dua pemimpin ini kerana mereka ada visi tersendiri untuk membangunkan kawasan masing-masing khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
“Mereka merancang untuk kepentingan rakyat dan pemimpin seperti inilah yang kita mahu untuk membela nasib rakyat, yang ada visi dan matlamat.
Jangan kita dengar calon-calon yang hanya pandai bercakap kosong sahaja tetapi pilihlah calon kerajaan kerana ini akan membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Justeru, Hajiji berharap kerajaan GRS akan diberi mandat pada pilihan raya kali ini agar dapat meneruskan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kita sudah bangunkan ekonomi, kita bawa masuk pelabur dan mewujudkan taman perindustrian baharu di Kudat yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Ekonomi Biru.
“Inilah kerajaan yang membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat. Dulu kita tidak dengar perancangan seperti ini tetapi hanya kerajaan GRS yang memikirnya.
“Justeru, jika semua perancangan ini termasuk taman perindustrian ini dapat dilaksanakan di Kudat, sudah pasti rakyat daerah ini yang untung. Sudah pasti ini akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah ini,” katanya.
Oleh itu beliau sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan pemimpin atau parti yang mendakwa kerajaan GRS gagal.
“Sebenarnya mereka yang gagal, sebab ada yang pernah menjadi ketua menteri dan menteri luar bandar di Persekutuan serta menteri JKR di negeri ini. Tapi masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya luar bandar di negeri ini pun tidak selesai.
“Mereka mendakwa kerajaan negeri gagal tetapi yang gagal sebenarnya adalah mereka. Oleh itu, beri peluang sekali lagi kepada kerajaan GRS untuk lima tahun lagi.
Lebih banyak pembangunan dibawa jika rakyat terus memberi mandat dan saya meminta rakyat Kudat akan terus memberi sokongan kepada calon GRS untuk DUN Banggi dan Tanjong Kapor pada 29 November ini,” katanya.
Sementara itu dalam Perhimpunan Mega Jelajah Kempen Pilhanraya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong di Dewan Terbuka Matunggong di Matunggong, Hajiji berkata pilihan raya kali ini penting untuk menentukan kerajaan yang akan memerintah Sabah selama lima tahun lagi
.“GRS hadapi pilihan raya ini dengan penuh yakin dan keyakinan ini berteraskan kepada kejayaan kita dalam membangunkan ekonomi dan keejahteraan rakyat dalam tempoh lima tahun ini. Saya berharap pengundi Matunggong jangan salah pilih tetapi pilihlah calon GRS iaitu Datuk Julita Mojungki.
“Di Matunggong ramai calon bertanding tetapi rekod wakil rakyat Datuk Julita selama menjadi wakil rakyat dan pembantu menteri telah menjalankan tugas dengan baik dan bawa kemajuan di Matunggong,” katanya.
Hajiji turut hadir pada majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Bandau, PDM Bongon, Pekan Lama, di Kota Marudu.-pr/BNN





