KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sambil menyifatkan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah baru-baru ini sebagai bukti jelas kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran beliau.
Dalam satu kenyataan hari ini, sayap Pemuda parti itu menekankan bahawa mandat yang diberikan rakyat membuktikan kepimpinan Hajiji dianggap matang, berwibawa dan mempunyai visi jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan pembangunan negeri.
Menurut kenyataan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda di semua peringkat digesa memperkukuh kesatuan serta memberikan sokongan penuh kepada Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh penggal baharu.
“Sokongan ini sangat penting untuk memastikan semua agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial dan kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” kata kenyataan itu.
Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat turut menegaskan peranan mereka sebagai wadah utama menyampaikan aspirasi anak muda Sabah kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan.
Namun, Pemuda juga menekankan komitmen untuk kekal akur dan patuh kepada setiap keputusan pimpinan demi menjaga kestabilan organisasi dan kelangsungan perjuangan membangunkan negeri.
Sayap Pemuda itu pada masa sama merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang baru mengangkat sumpah.
Mereka yakin barisan kabinet baharu mampu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh, meningkatkan inisiatif kebajikan, memperkasa agenda wanita dan pembangunan belia, serta menambah baik tadbir urus dengan penggunaan sumber negeri secara berhemah.
Pemuda juga menggesa kerajaan terus konsisten mempertahankan hak Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Pemuda Gagasan Rakyat turut menyatakan keyakinan bahawa lima tahun pentadbiran akan datang bakal menyaksikan keupayaan Kerajaan GRS Plus mengangkat Sabah sebagai sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing demi masa depan rakyat dan generasi akan datang. – pr/BNN





