KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Perpaduan yang baharu dibentuk komited untuk bekerjasama rapat dalam memacu kemakmuran dan kemajuan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Kita mempunyai keupayaan yang kukuh untuk melaksanakan perkara ini, berdasarkan pencapaian pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai dalam tempoh lima tahun lalu.

Kita bersedia melancarkan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif pada tahun 2026,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji menegaskan bahawa memperkukuh Kerajaan Negeri adalah penting untuk memastikan kestabilan politik yang berterusan serta kesinambungan pembangunan.

Menurutnya, kejayaan pencapaian lima tahun lalu adalah hasil usaha gigih kerajaan dalam mewujudkan kestabilan dan persekitaran kondusif untuk pembangunan.

“Dengan pentadbiran baharu ini, saya dan anggota Kabinet akan memperteguh komitmen untuk mengekalkan kestabilan serta mendokong agenda politik berteraskan perpaduan dan pembangunan,” katanya.

Ketua Menteri turut menegaskan komitmennya untuk mentadbir secara adil dan inklusif.

“Saya adalah Ketua Menteri untuk semua, berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa prejudis terhadap latar belakang, kaum atau agama mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan portfolio 17 pembantu menteri yang mengangkat sumpah pada Selasa

Senarai Pembantu Menteri Dan Portfolio

Jabatan Ketua Menteri
• Datuk Joniston Bangkuai (GRS)
• Datuk Isnin Aliasnih (GRS)
• Datuk Mandela Malakun (GRS)

Kerja Raya dan Utiliti
• Datuk Limus Jury (GRS)
• Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah (GRS)

Kewangan
• Datuk Ben Chong (GRS)
• Datuk Ishak Ayub (STAR)

Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan
• Datuk Jonnybone Kurum (GRS)

Kerajaan Tempatan dan Perumahan
• Datuk Fairuz Renddan (Bebas)
• Datuk Maijol Mahap (Bebas)

Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
• Datuk Haji Ruslan Muharam (GRS)
• Datuk Hendrus Anding (GRS)

Pembangunan Luar Bandar
• Datuk Samad Jambri (GRS)
• Datuk Juil Nuatim (GRS)

Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi
• Jordan Jude Ellron (Bebas)

Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
• Dr. Andi Rizal (GRS)

Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
• Datuk Rina Jainal (Bebas)

-BNN